Mencapai Rasa Syukur Setiap Hari

Sekadar perkongsian ringkas, setelah beberapa ketika aku menilai diri aku sendiri. Melihat kepada kaedah-kaedah yang boleh aku lakukan untuk memastikan diri aku dalam ketinggian rasa syukur. Berusaha mencapai rasa cukup dengan apa yang aku miliki. Serta bermuhasabah apakah aku dari golongan yang suka mengungkit.

Moga dapat kita manfaatkan beberapa langkah praktik untuk menjadi hamba yang lebih bersyukur.

1. Tidak sekali-kali memberi kritikan atau komen terhadap masakan yang kurang enak rasanya tetapi masih kena dengan citarasa umumnya. Contohnya; kurang masin, tak cukup garam, kurang manis, tak cukup pedas etc. Sebaliknya, ucapkanlah Alhamdulillah sambil mengenangkan ramai lagi manusia di luar sana sedang berusaha mencari sesuap makanan.

2. Tidak memberi komen negatif terhadap apa yang sudah menjadi milik kita. Berpada dan rasa qanaah lah dengan apa yang ada, jadikanlah tabiat gaya bisaathoh a.k.a sederhana atau mudah. Contohnya; kereta aku lembap, kereta aku tak ada CD player, rumah aku sempit, rumah aku langsir tak cantik, laptop aku laptop lama, etc. Sebaliknya, ucapkanlah Alhamdulillah sambil mengenangkan ramai lagi manusia di luar sana bertungkus lumus seharian mencari duit untuk sekadar memiliki apa yang kita ada barangkali, apatah lagi mencari kesempurnaan terhadap apa yang diingininya.

3. Elakkanlah mengeluh dan menanam dendam tatkala tersangkut dalam kesesakan lalu lintas atau kesesakkan pengangkutan awam. Contohnya; lembaplah kereta depan ni, jauhlah stesen komuter, buat apa orang ramai-ramai ni waktu macam ini, lambatlah bas ni, teruklah naik sesak-sesak macam ini, etc. Sebaliknya lafazkanlah Subhanallah sambil mengenangkan ramai manusia tidak mampu berjalan bebas seperti kita, ada manusia di tempat lain berjalan kaki berbatu-batu hanya untuk mencari rezeki, ada orang yang tidka mampu berkenderaan kerana kesempitan, ada manusia yang berdoa siang malam agar dikurniakan kesihatan untuk berjalan dan hidup seperti biasa.

4. Jauhilah mencela cuaca seperti mengapalah nak hujan, panas ya amat hari ini, bilalah nak redup, asyik panas memanjang, mendung tak sudah macam nak kiamat etc. Allah menetapkan cuaca buat sekelian alam, maka itu adalah kehendak Allah. Jauhilah menjadi angkuh dengan mencela kehendak Allah. Sebaliknya lafazkanlah Subhanallah sambil mengenangkan di rantau lain, begitu manusia mengharap hujan kerana kering kontang, atau ada manusia berdoa siang dan malam mengharap panas agar tanamannya segar, ada manusia berdoa siang malam agar diberi penglihatan untuk melihat sinarnya matahari, redupnya mendung dan pelbagai lagi.

5. Elakkanlah dari mencari pekerjaan apa yang orang lain tidak lagi siapkan, seperti…yang kita semua tahu. Sebaliknya, ucapkanlah Allahuakbar, kerana kurniaan Allah lebih agung dari apa yang kita laksanakan sebagai sebahagian dari taklifan kita. Bersabar dan bersyukurlah dengan siapa kita berurusan, barangkali di tempat lain, manusia lain berurusan dengan manusia yang teramat angkuh, pemalas, lembab dan pelbagai lagi yang lebih teruk dari kita. Siapa tahu?

6. Lafazkanlah tasbih memuji Allah selalu daripada menyanyikan nasyid tak sudah-sudah ketika bersendirian, waktu bangun tidur, waktu duduk di dalam bas dan seumpamanya. Waktu itulah waktu bermuraqabah yang berharga.

Firman Allah s.w.t.

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih. Ibrahim 14: Ayat 7

Barangkali kita tak di azab di dunia kerana kita mengingkari nikmat-nikmat Allah s.w.t. , tetapi kelak di akhirat, siapa tahu ada kesalahan dan dosa kita mengingkari nikmat Allah s.w.t. yang tidak kita bertaubat darinya.

Ya Allah, ampunkanlah kami dengan keluasan rahmat dan pengampunan-Mu.

Apa yang telah berlaku pada kamu adalah yang terbaik buat kamu.


About this entry