Terima kasih, saya jual.

Aku menelaah sedikit siri sirah jihad di nusantara. Menarik sungguh fakta-fakta yang diketengahkan hingga membuatkan aku lebih jelas dengan perkembangan islam di nusantara.

Satu perkara yang menyentuh hatiku adalah berkenaan olahan yang dibawakan oleh penulis dalam menggarap pengajaran berharga dari sirah jihad islam di nusantara.

Ia bermula dengan perdagangan kata mereka. Ia bermula dengan perkahwinan kata mereka. Ia bermula kerana sultan mereka memeluk islam kata mereka. Ia bermula kerana ketua agama mereka yang asalnya hindu memeluk islam kata mereka. Ini merupakan faktor-faktor bagaimana islam boleh berkembang luas di nusantara. Kita menelaah dari buku-buku sejarah Tingkatan 1 hingga 5, memberikan kepada kita gambaran bagaimana islam boleh berkembang pesat di nusantara. Namun, jika kita meneliti secara lebih terperinci tentang latar belakang nusantara sebelum kedatangan islam, pastilah akan terjawab bagaimana sebenarnya islam berkembang di nusantara.

Kita banyak didedahkan dengan peradaban Hindu di Tanah Melayu, sebelum kedatangan Parameswara ke Melaka. Empayar Patih Gajah Mada, atau lebih dikenali sebagai Majapahit adalah sebuah empayar Hindu. Ia bercambah dari tanah India, ke nusantara. Kita diberitakan tentang banyaknya candi-candi yang membuktikan nenek moyang asal di nusantara adalah penganut agama menyembah berhala dan hindu.  Menilai dari suasana masyarakat empayar tersebut, pastilah akan kita temui bahawa masyarakatnya beragama Hindu. Menelaah buku-buku sirah nusantara pasti akan membawa kita kepada kondisi kehidupan masyarakat empayar Majapahit tersebut, yang juga melibatkan Tanah Melayu. Mungkin jika anda rajin, serta orang yang mencintai ilmu dan dahagakan ilmu, luangkanlah masa anda membaca Derita Dunia Akibat Kemunduran Umat Islam tulisan Abu Hasan Ali An-Nadwi yang amat membuka minda kepada realiti ketamadunan manusia di seluruh dunia sebelum Islam menerangi alam.

Kondisi kehidupan yang beragamakan Hindu, melibatkan penyembahan berhala dan kehidupan berkasta seperti yang ada dalam lipatan sejarah bukanlah satu suasana yang mudah untuk di islahkan agar kembali kepada agama tauhid dan meng-Esakan Allah s.w.t. Raja-raja yang dilihat sebagai jelmaan tuhan di dunia, mempunyai kekuasaan mutlak ke atas rakyat, kasta sosial yang dipimpin oleh sudra dan dihambai oleh paria, penyembahan berhala dan ritual animisme serta pelbagai lagi memerlukan usaha yang berhempas pulas untuk menda’wah mereka kepada uluhiyyah, rububbiyyah dan asma’ wa as-sifat Allah s.w.t. yang Maha Agung dan Maha Suci.

Perlu kita fahami kondisi masyarakat di situ dalam menilai kembali adakah islam tiba di nusantara dengan kaedah orang yang datang berdagang mencari rempah, kemudian dengan kesopanan mereka dan ketinggian akhlak mereka dalam berurus niaga, “Terima kasih, saya jual.” dan hidup di situ sehari-hari dengan matlamat untuk kembali ke tanah air bersama harta kekayaan akan dapat memulihkan akidah dan kehidupan sosial masyarakat nusantara ketika itu? Lihat sahaja suasana pelajar Malaysia di luar negara yang bersama masyarakat bukan islam, berinteraksi sehari-hari di dalam kelas dan seumpamanya, adakah negara-negara tersebut telah islam rakyatnya? Jumlah pelajar muslim mencecah ribuan orang di US, Australia, UK, Russia, Korea, Jepun, Czech Republic, India dan merata lagi, apakah telah islam masyarakat di situ? Apakah dekan-dekan universiti di situ telah islam? Bahkan, adakah pelajar-pelajar tersebut masih dalam pegangan islam yang syumul dan sempurna? Ini satu ironi yang perlu kita renungi.

Jika perkahwinan juga faktor utama, perbahasan yang serupa diusulkan. Apakah pedagang yang datang itu mengahwini empat orang tempatan setiap mereka? Berapakah bilangan pedagang muslim yang datang ke nusantara? Seluruh jazirah arab?

Jika faktor kepimpinan yang menjadi sebab, dari siapa pemimpin belajar tentang islam? Dari pedagang yang datang, kemudian pulang? Tetapi Melaka mampu menjadi serambi Mekah ketika zaman kesultanan Melayu Melaka? Jika begitu, pedagang yang datang mestilah pedagang yang merupakan ulama-ulama yang tidak terkenal atau tidak diperlukan di tempat mereka, kemudian terpaksa beralih kerjaya kepada pedagang untuk menyara hidup? Kemudian tiba di nusantara dan mendapat tempat untuk mendidik manusia agar kembali kepada agama yang lurus?

Faktor-faktor simplistik ini sangat prominen di dalam pemikiran rakyat nusantara. Sekolah-sekolah yang silibus dan matlamatnya ditetapkan dari awal oleh penjajah melalui ghuzwatul fikr ke atas pewaris mereka telah mendidik umat islam di nusantara dengan sifat simplistik analisa sejarah tanah nusantara. Akhirnya, rakyat terus hilang dan makin cair terhadap jatidiri dan asal usul mereka sebagai bangsa yang memikul risalah da’wah ini.

Usaha da’wah yang berterusan dan jihad yang berpanjangan adalah penyumbang utama kepada usaha menyampaikan islam di nusantara. Koleksi sejarah yang menimbun tetapi hilang dari pandangan kita banyak memaparkan bukti-bukti ini. Lihat tulisan Prof HAMKA dalam Sejarah Umat Islam di dalam jilid Islam di Nusantara, juga penulisannya Perbendaharaan Lama akan membuka mata kita tentang perjuangan mujahidin dan da’i yang menginfakkan hidup mereka demi da’wah di jalan Allah untuk membawa manusia yang beragama penyembahan berhala kepada penyembahan Allah s.w.t. Sekali lagi diutarakan, mengubah sistem sosial dan akidah seperti yang dialami empayar Majapahit, Siam dan seanteronya tidak semudah dengan hanya datang berdagang, berkahwin dan seumpamanya. Ia memerlukan usaha da’wah yang berterusan dan pengorbanan yang semata-mata untuk da’wah.

Sekadar renungan kita, apakah bentuk jihad kita melalui menuntut ilmu di perantauan? Apakah semudah itu ia menjadi semulia jihad dalam keadaan kita lalai dengan tuntutan islam seperti solat, puasa, zakat, melaksana yang halal dan menjauhi yang haram serta mewaspadai yang syubhat, menjaga adab-adab islam, berakhlak seperti Rasulullah s.a.w., berda’wah, menyeru ma’ruf dan mencegah mungkar di kalangan muslim dan pelbagai lagi? Atau kita terlalu malas untuk berjihad, maka gunakanlah alasan ‘belajar itu juga jihad’ bagi menyedapkan kedudukan?

Wallahu’alam.


About this entry