Salah siapa?

Kali ini mungkin lebih pendek dari yang sebelumnya. Aku tidak sihat, kerana Allah sayangkan aku. Agar aku muhasabah diriku sendiri atas musibah yang Allah kurniakan. Sungguh aneh keadaan seorang mu’min dan ia hanya berlaku kepada orang mu’min. Apabila dia ditimpa musibah, dia bersabar dan itu baik untuknya. Apabila dia dikurniakan ni’mat, dia bersyukur dan itu juga baik untuknya.

Aku berbincang sedikit dengan orang rumah, tentang kisah-kisah sedih yang melanda dunia da’wah. Dari kematian Dr Fathi Yakan yang banyak menyentuh hati manusia dengan tulisannya Apa Ertinya Saya Bergabung Dengan Islam?, kepada rakan-rakan yang dulunya semangat bersama, menulis blog bersama, ke mukhayyam bersama, ke usrah bersama, ke daurah bersama dan semuanya bersama kini telah hilang dengan dunianya yang tersendiri. Tiada lagi kelibatnya di usrah, tiada lagi di mukhayyam, pendek kata tiada lagi di program-program yang ada, guna mentarbiyah diri agar menjadi lebih baik. Berlanjutan pula kepada situasi-situasi yang kami alami dengan sahabat-sahabat yang semakin lesu mentarbiyyah diri, seolah melambai mengucap “Aku terpaksa pergi dulu, mungkin nanti kita akan bertemu lagi di arena yang berbeza, bi iznillah”.

Bila dikorek lagi, apakah kesilapan langkahnya? Ataukah kesilapan langkah kami? Al-marhum Dr Fathi Yakan menyatakan di dalam tulisannya Golongan yang Tercicir, antara faktornya adalah apabila pemimpin tidak melihat permasalahan pengikut sebagai satu hal yang perlu diberi perhatian dan dibaiki secepat mungkin, sebaliknya meletakkan harapan pada pengikut agar berubah dan menyelamatkan dirinya sendiri. Boleh jadi sangat benar.

Namun dalam bab yang lain, beliau menyatakan pula bahawa ia mungkin dari individu itu sendiri yang tidak mahu menyertai Bahtera Penyalamat yang melaluinya berkali-kali dalam bab dilema hidupnya itu. Boleh jadi sangat benar juga.

‘Ala kulli hal, faktor individu adalah faktor yang boleh kita semua ambil sebagai penyakit yang paling mendasar yang perlu diberikan ubatnya. Jika pemimpin sebagai faktor utama, maka pemimpin hanya mampu terlihat penyakit itu tatkala diserlahkan oleh pengikut. Jadi masalahnya telah berbuah, bukan lagi baru menumbuh. Lainlah kalau pemimpinnya ada kasyaf yang benar dan mendalam lantas dapat melihat apa yang ada di balik rusuk ! Jadi jangan mengharap kasyaf pemimpin sebagai ubat utama.

Beberapa ubat yang baik untuk para pengikut yang segar bugar, terutamanya mahasiswa/wi termasuklah diriku sendiri, maka aku kongsikan bersama agar kita dapat praktikkan.

1. Blogging – satu medium peluah rasa yang amat menarik buat kebanyakan pencinta da’wah. Namun ia mampu menjadi barah. Bagaimana? Aku sendiri melaluinya dahulu, aku tahu bahananya. Satu entri, kepada dua, kepada tiga. Akhirnya setiap hari di depan komputer mahu menulis entri. Tambahan pula ramai yang semakin menghadiri blognya, kerana dia sudah mula beralih angin. Taufan tarbiyyah melanda, ayuh sergah !!

Satu perkara tentang menulis entri, jiwa muda menginginkan penulisannya panjang dan penuh hujah. Jadi waktu yang akan di ambil sehingga 2-3 jam buat satu entri. Kadangkala boleh berhenti makan-makan dulu. Ini bahana kerana waktu ulangkaji terkorban. Akhirnya blog menjadi lebih utama dari ulangkaji, kerana alasannya berda’wah. Boleh jadi syaitan mengindahkan amalannya yang kurang utama itu.

Maka jalan keluarnya adalah, bukan “Jangan tulis blog !” tapi displinkan diri dalam menulis blog. Cukup sekadar 1 muka nasihat yang terus dan bercontoh mungkin, kemudian berhenti. Tetapkan masa menulis atau jadual menulis mingguan. Tak perlu setiap hari, mungkin selang 3-4 hari sekali. Istiqamah dengan kecil-kecilan lebih baik dari nanti kecewa, keluar dari jalan tarbiyah langsung lupa kewajipan berda’wah. Na’uzubillahi min zaa lik.

2. Blog/web surfing – satu lagi fenomena, berpunca dari keghairahan tak berpandu. Boleh jadi dia tak menulis, tapi dia menjadi pembaca blog setia melayan angin taufan tarbiyah rakan-rakan. Atau mungkin mencari semua ilmu di internet selagi boleh. Dia hilang pertimbangan antara nak jadi fuqaha’ agama atau jadi fuqaha’ pengkhususannya. Ya boleh jadi dua-dua, tapi seimbangkah kaedah kamu itu? Bertepatankah dengan keutamaan buat kamu? Rancu ! Inipun boleh jadi 2-3 jam juga, bahkan lebih lagi.

Jadi jalan keluarnya bukan “-anda tahu apa saya mungkin tulis-” tapi susunlah keutamaan dalam beberapa perkara:

1. Web apa/blog siapa lebih utama untuk dibaca setiap hari? Jadi di sini pertinbangkan antara mencari ilmu dan melayani luahan hati? Mungkin 80% ilmu, 20% luahan hati.

2. Apa yang lebih utama hari ini atau minggu ini atau bulan ini? Ulangkaji untuk peperiksaan/ujian kecil atau projek-projek yang kita diamanahkan padanya dengan ratusan ribu ringgit atau -anda lebih tahu apakah subjeknya- ?

3. Ilmu agama apa yang anda hendak pelajari? Tahukah aturannya atau keperluan utama bagi kamu? Akidah dulu atau hukum dulu? Memimpin negara dulu atau memimpin hawa nafsu? Menentukan zakat, haul dan seumpamanya atau kaedah solat yang betul dulu? Dan seterusnya. Anda lebih tahu keutamaan anda. Semua penting, tapi perlukah sekarang? Anda bijak, anda tentukan.

Juga gunakanlah teknologi agar mudah anda menapis. Pelbagai RSS feeds ada, pelbagai readers ada. Jadi anda tak terlepas, anda tak membuang masa. Tapi kalau ada sehingga 1000+ unread feeds, klik sahaja pada Mark All as Read.

Ok, sudah 45 minit menulis. Aku belajar dari apa yang aku lalui. Cukup dulu dua perkara yang nampak remeh, tapi aku tahu ramai yang kecundang kerana bahana dua perkara ini dan ada pelbagai lagi. Saat sudah terlanjur, maka disalahkan da’wah dan tarbiyah yang terlalu memerah. Boleh jadi terlupa keperluan munazamman fi syu’unih kerana jiwa terlalu besar membawa cita-cita ingin mengecap ustaziatul ‘alam. Aduhai kawan !

Moga kita terus tsabat di atas jalan da’wah, dengan tarbiyah berobjektifkan 10 muwasafat tarbiyah yang dipandang langka itu. Ya Allah, teguhkanlah hati kami.

Rabbana affrigh ‘alaina sobran, wa tsabbit akdaamana, wansurna ‘alal qaumil kaafiriin.

-hah, dah jadi 52 minit…phew..-

-ok, nak letak gambar dah jadi 59 minit…-


About this entry