Apa yang saya belajar…

dari seorang penda’wah yang benar-benar telah meletakkan hidupnya untuk da’wah dan perjuangan menegakkan kalimah Allah di mana sahaja ia berada begitu berharga. Peluang yang saya dapat untuk bersama dengannya, saya manfaatkan sebaiknya. Saya perhatikan tindakannya dan saya dengar daripada dia, kerana pengajaran bukan semata dari perkataan tetapi juga dari pengamatan.

Suatu ketika, waktu sedang bersiap untuk ke lokasi program, saya berkata kepadanya, “Jika tidak ramai yang hadir ke program ni, kita boleh rearrange ke waktu lain dan kita proceed dengan program yang seterusnya. Kalau macam tu, lebih ramai orang yang akan hadir.”

Kemudian dia segera menjawab, “Tak perlu. Kalau seorang sahaja pun yang hadir, kita teruskan juga. Da’wah kita bukan ikut berapa ramai yang hadir. Walau seorang pun yang datang, kita teruskan sahaja. Moga kesungguhan dia hadir dan keikhlasan kita berda’wah akan lebih mengesani hati dia.” Kemudian dia tersenyum, dan menyambung, “Seorang pun, kita teruskan sahaja.”

Saya terdiam. Dan kemudian saya mengiakan. Waktu program, hanya lebih kurang 6 orang sahaja yang hadir, sedangkan yang dijangka adalah sebanyak 20 orang atau lebih. Dia tersenyum, “Alhamdulillah ada 6 orang.” Dan saya membalas senyuman. “Alhamdulillah.” saya membalas, tetapi hati masih tawar.

Dua bulan berlalu, sekarang saya belajar isi perbualan tersebut.

1. Ikhlaslah dengan sebenar-benar ikhlas dalam berda’wah. Jangan belajar menarik diri hanya kerana kuantiti yang sedikit. Allah yang mengurniakan hidayah dan petunjuknya, bukan kita.

2. Ganjaran yang kita dapat bukan dari berapa ramainya telinga dan mata yang melihat kita, tetapi bermula dari kita berusaha merancang, kepada kerja-kerja buruh untuk menyiapkan tempat dan juga kepada senyum terakhir yang kita sampaikan kepada hadirin sebelum beredar.

3. Tidak me-maksud-kan “program gagal” dengan kurangnya hadirin, tetapi dengan tidak ikhlasnya niat kita dalam berprogram.

4. Tidak berlengah dalam mengambil kesempatan untuk berda’wah. Jika ada telinga yang ingin mendengar, cukuplah satu yang rela daripada puluhan yang tidak.

Dan itulah yang saya belajar.


About this entry