Faktor Kepemimpinan
Kita maklum Rasulullah s.a.w. adalah qudwah ikutan kita yang terbaik. Baginda s.a.w. adalah sumber inspirasi bagi kita dalam usaha tarbiyyah dan pembentukan jatidiri kita. Dan para sahabat radhiallahu’anhum telah pun membuktikan bahawa qudwah Rasulullah s.a.w. itu mampu diikuti, cuma kita tidak akan mampu sampai kepada maqam para rasul.
Dalam kehebatan baginda s.a.w. memimpin para sahabat, melakar kaedah dan manhaj tarbiyyah dan da’wah ilallah terdapat banyak pengajaran dan mutiara hikmah yang boleh kita semaikan dalam jiwa kita. Dari pandangan zahir terhadap nas-nas hadith Nabi s.a.w., begitu banyak terdapat gambaran kehidupan dan akhlaq dalam skop praktikaliti dan realiti masyarakat. Dan kita amat bertuah menjadi insan-insan hasil tarbiyyah yang mampu menghargai dan bermujahadah untuk melaksanakan apa yang termampu oleh kita.
Namun di balik segala gambaran kehidupan, fakta-fakta kebenaran akhlaq dan perlakuan Nabi s.a.w. ada satu ibrah yang amat besar yang perlu kita sebagai du’at umumnya dan sebagai pimpinan da’wah khususnya garap dengan baik dan laksanakan dengan sesempurna mungkin.
Syeikh Said Hawwa menyebutkan bahawa pemimpin adalah warisatul kaamil yang bermaksud ‘pewaris yang sempurna’. Pemimpin menyampaikan apa yang ia fahami dan ia hidupkan agar pengikutnya fahami dan ikuti. Ia bukan sekadar memberi arahan dan menjayakan strateginya kerana ia sedar, dalam usaha islah di zaman ini, kejayaan mungkin sahaja tidak akan dapat dicapai dalam hayatnya. Maka ia bersiap menjadikan dirinya sebagai warisatul kaamil yang akan memastikan da’wah terus mandiri.
Oleh sebab itulah, sebagai sebahagian dari kafilah da’wah Ikhwan, kita perlu sekali memahami dan menguasai manhaj tarbiyyah dan da’wah ini berbalik kepada sumbernya yang asal, dan melihat kepada ma’ani tersirat dalam ‘qudwah’ Nabi s.a.w. ‘Qudwah’ dalam erti sifat, atau tabiat Nabi s.a.w. dalam manhaj tarbiyyah dan da’wah Nabi s.a.w. dan bukan semata qudwah pada zahir sunnah Nabi s.a.w.
Kepemimpinan harakah islam adalah berdasarkan qudwah al-hal dan bukan semata lisan. Ini kita sedia maklum dan tiada argumen yang dapat menafikan fakta ini. Namun satu faktor yang mempengaruhi efisensi qudwah perlakuan ini adalah kefahaman dan kejelasan kita mengapa kita lakukan ia, apa dorongan untuk kita melakukannya. It’s not simply about painting, it’s about why would you want to paint it?
Persoalan kita di sini, “Mengapa Nabi s.a.w. melakukan apa yang telah baginda s.a.w lakukan?” Mengapa baginda s.a.w. bersama bertahan bersama sahabat ketika muslimin di boikot? Mengapa baginda s.a.w. bersabar ketika di rejam batu di Thoif? Mengapa baginda s.a.w. turut serta dalam menggali parit semasa Perang Ahzab? Mengapa baginda s.a.w. turut ke Mekkah waktu Fathu Mekkah? Mengapa tidak hantarkan sahaja para sahabat dan bukakan Mekkah bagi pihak baginda s.a.w. dan pada waktu yang sama baginda s.a.w. boleh merancang untuk pelbagai ekspedisi da’wah yang lain?
Nabi s.a.w. adalah qudwah. Itu asbab yang penting. Nabi s.a.w. ingin paparkan kepada sahabat bahawa sekian dan sekianlah kaedahnya. Sebenarnya bukan hanya pada sahabat, tetapi buat muslimin yang tidak dapat melihat dan bertanya kepada Nabi s.a.w. Nabi s.a.w. bukan jenis yang mengarah dan memaksa orang patuh dan laksana, tetapi Nabi s.a.w membimbing para sahabat dan kita semua. Itu satu sebab.
Nabi s.a.w. juga adalah pemimpin umat islam. Maka Nabi s.a.w. bersama dengan para sahabat, sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat. Nabi s.a.w. ingin bersama dengan para sahabat untuk merasai kepayahan dan keperitan itu, agar para sahabat turut serta bersama dan menuju sinar cahaya Ilahi itu. Dan ini suatu sebab. Namun ia berada di bawah isi utama berkait qudwah. Di sini memaparkan kepentingannya untuk kita bersama ikhwah dan akhwat dalam perjalanan da’wah ini. Bukan semata dalam urusan tarbiyyah dan da’wah sahaja, tetapi berkait kehidupan; sosial, kewangan, kebajikan harian, hal anak-anak dan sebagainya. Kerana kita ingin membentuk individu muslim yang hidup sebagai muslim, bukan sekadar sekali-sekali hidup berda’wah.
Di balik itu semua, ibrah paling besar yang perlu kita kecapi dari qudwah yang agung ini adalah kejelasan Nabi s.a.w. bahawa Allah s.w.t. menjadi saksi kepada setiap perbuatan Nabi s.a.w. Allah s.w.t. senantiasa memerhatikan gerak-geri Nabi s.a.w. dan itu menjelaskan kepada kita teguran dan bimbingan Allah s.w.t. sepanjang hayat Nabi s.a.w. Atas kesedaran ini, Nabi s.a.w. mengeluarkan segala tindak-tanduknya agar membimbing umat kepada Allah s.w.t. Tiada tindak-tanduknya yang mengelirukan atau tidak bermanfaat, kerana Allah Maha Menyaksikan.
Padahal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu), yang mulia (di sisi Allah) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu), (Infithar: 10-11)
Maka Rasulullah s.a.w. terus menerus melaksanakan tugasnya sebagai utusan Allah s.w.t. seperti yang Allah firmankan:
Sesungguhnya Kami mengutus kamu sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan (Al-Fath: 8 )
Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul diantara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al Kitab dan Al-Hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui. (Baqarah: 151)
Dan kita pula disaksikan oleh Allah s.w.t., Rasulullah s.a.w. dan orang-orang mu’min seperti yang sering kita lafazkan;
Dan Katakanlah: “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan. (At-Taubah: 105).
Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Baqarah: 143)
Dan dari sinilah kita melihat mengapa Rasulullah s.a.w. berterusan bersama para sahabat beramal. memimpin dan membimbing amal para sahabat radhiallahu’anhum. Mereka bersama-sama berdampingan mengejar redha Allah s.w.t. dan berusaha mencapai kejayaan bagi memenangkan agama Allah s.w.t.
Rahsianya begitu mudah namun sering dilupai oleh du’at. Bahawa Allah s.w.t. Maha Menyaksikan. Segala perbuatan, segala kelemahan, segala kemalasan, segala kelalaian, segala kecacatan, segala alasan yang kita lakukan dan kita berikan, Allah menyaksikan semuanya.
Mengapa Nabi s.a.w. bergaul bersama para sahabat, beraktiviti dan menjalani kehidupan bersama para sahabat? Kerana usaha tarbiyyah Nabi s.a.w. itu satu kewajipan bagi baginda, dan baginda mahu Allah s.w.t. menyaksikan bahawa baginda s.a.w. melaksanakan tugasannya sebagai pemimpin umat kepada berita gembira dan menjauhi azab seksa. Baginda s.a.w. tidak mahu meletakkan risiko ke atas dirinya dengan menghantar orang lain sebagai pengawas atau pemberitahu, tetapi baginda turut serta agar jika menang, maka menang bersamanya, jika tewas, kita tanggung bersama, dan Allah s.w.t. tetap sebagai saksi kepada urusan tersebut.
Jadi persoalannya, memadaikah kita mengharap dan bergantung kepada sesuatu atau seseorang untuk da’wah dan tarbiyyah ini berlangsungan? Terjaminkan urusan itu, dan terjaminkah nasib kita di akhirat jika kita melepas amanah itu di alam maya, atau di atas surat-surat atau kepada seseorang? Apakah kamu akan katakan kepada Allah s.w.t. kelak bahawa “Amanah da’wah ini telah saya sampaikan melalui alam maya, melalui surat-surat dan melalui si fulan. Dan Engkau telah menjadi saksi atas tindakanku itu.” Apakah kamu akan tinggalkan interaksi kamu dengan manusia dan memastikan ia telah mendengar dan melihat darimu?
Apakah ini menjadi gambaran kesungguhan kita melaksanakan amanah da’wah yang disaksikan oleh umat? Dengan Facebook, dengan Friendster, dengan mail forwarding, dengan mempengaruhi ketua-ketua persatuan/parti/kumpulan namun tidak bertemu manusia dan mentajmik, mentarbiyyah dan berda’wah?
Kualiti kepemimpinan harakah islam bergantung kepada kesedaran kita bahawa Allah Maha Menyaksikan, Allah Maha Dekat. Kita akan turut turun ke medan, kita kerahkan keringat, kita beriringan dengan para pengikut untuk melaksanakan amanah da’wah ini, agar ia benar-benar dan terjamin bahawa ia telah dilaksanakan. Lebih kuat kesan muraqabatullah kita, lebih hebat kita akan terus berda’wah dan beramal.
Sekiranya kita membiarkan kepemimpinan lemah dan terkulai, maka Allah, Rasul-Nya dan orang-orang mu’min menyaksikan perbuatan kita. Da’wah juga akan terencat, kerana kita tidak mewariskan segalanya dengan baik dan kaamil, walaupun hakikatnya, Allahlah yang menjaga da’wah agama-Nya. Bahkan lebih teruk lagi, tidak selamat kita di akhirat jika kebinasaan yang kita tebarkan kepada pengikut.
Maka renungi urusan kita sehari-hari, apakah benar kita berkesungguhan dalam beramal? Atau kita lebih gemar “pass-pass” kepada sesuatu atau seseorang yang lain?
So why would you want to paint it?
About this entry
You’re currently reading “Faktor Kepemimpinan,” an entry on penapistola
- Published:
- October 15, 2009 / 12:28 am
- Category:
- Uncategorized
- Tags:
I was born in 1404 H. A graduate with a Bachelor’s degree in Mechanical & Manufacturing Engineering. Very keen in Islamic practices and studies. I have deep interest in carpenting and interior designing. Now trying to establish a way to employ myself with the most sustainable and win-win business.
No comments yet
Jump to comment form | comments rss [?] | trackback uri [?]