Dari Dongyang ke Salak Tinggi

by penapistola

Baru pulang dari bumi Korea. Bumi yang penuh dengan kegigihan dan kesungguhan. Masyarakatnya yang suatu ketika dulu mendapatkan bantuan kerajaan Malaysia untuk merdeka, kini jauh lebih hebat dari Malaysia.

Samsung dan Hyundai yang suatu ketika dulu tidak punya erti signifikan dalam hidup kita, kini sudah menjadi pemain industri terbesar dunia.

Namun, dalam kesungguhan dan kegigihan mereka, terpalit kisah duka kekosongan kehidupan. Kebanyakan mereka golongan mulhid(atheist). Hidup lebih berfokus kepada pekerjaan dan mencari keseronokan hidup. K-pop yang menular ke tanah air kita menjadi bukti gaya hidup penuh hiburan tanpa hala tuju terutama di kalangan belia mereka.

Dari perbualan, hampir 80% wanita Korea melakukan pembedahan plastik. Aku ketawa melihat iklan pembedahan plastik dengan label "BABI" di dalam kereta api lajunya. Semuanya boleh di plastikkan. Dan aku terlihat sebuah iklan sekolah menengah yang memaparkan pelajar cemerlang mereka, seorang ikhwah berkata, "Ini baru real muka orang Korea." Aku sekadar tersengih. Alangkah seksanya hidup mereka.

Di sana, semuanya laju. Berjalan laju, bas laju, berhenti pun laju(baca:mengejut), kereta api laju, hidang makanan laju, pendek kata semuanya nak laju, biar manfaat masa. Namun dalam semua kelajuan itu, mereka terkandas di hentian terakhir tanpa petunjuk wahyu dalam hidup mereka.

Namun di balik kesemua wajah tempatan, wujud wajah-wajah bersemangat anak Malaysia yang kian subur memenuhi bumi Korea. Mereka bersungguh melakukan usaha dakwah dan tarbiyyah bagi memenuhi kekosongan waktu dan mungkin jiwa anak Malaysia di perantauan. Mereka pulun siang dan malam, agar jika tidak semua, biar majoriti mendapat sentuhan hidayah Allah swt. Moga Allah merahmati mereka.

Aku yakin, bumi Korea akan menjadi subur dengan dakwah islam di situ. Di tambah dengan kegigihan mualaf dan pak arab yang ada di situ untuk melaksanakan dakwah islam, pastinya kota Itaewon akan menjadi ibukota atau pusat bagi dunia islam di Korea, insyaALlah.

Bagi anak Malaysia, terutamanya ahli ISMA Korea, segunung harapan diletak di atas bahu mereka bagi memikul aspirasi dakwah islam dan tarbiyyah islamiyyah di kalangan pelajar Malaysia di sana termasuk juga kesungguhan mendapatkan kecemerlangan akademik dari universiti-universiti tujuan pelajar di sana, insyaAllah.

Biar rebah asal jangan menyerah !