Melonjakkan Hasil Amal

Dalam gerakan dakwah pada era ini, kita tidak dapat lari daripada masalah kekurangan tenaga kerja yang komited dan berkualiti. Isu utama bagi mana-mana gerakan dakwah sekalipun adalah kurangnya individu yang siap untuk intima’ dengan harakah dakwah dan meletakkan seluruh hidupnya untuk melaksana misi dan visi harakah tersebut. Walau jutaan ringgit dituang untuk menarik dan mengganjari manusia, tidaklah mudah untuk mendapatkan rahilah(unta merah) yang akan menjadi seteguh qaedah sulbah disekeliling Nabi s.a.w.

Justeru dalam kekurangan yang ada dan bebanan amal yang besar ini, harakah dakwah perlu memberikan perhatian; walau tidak selamanya, pada melonjakkan hasil amal para ahli dari masa ke masa. Di sana terdapat pelbagai instrumen pengurusan yang terbukti memberikan hasil yang baik seperti balance score card, key performance index dan sebagainya. Begitu juga terdapat pelbagai instrumen penelitian untuk memastikan tindakan yang akan diambil benar-benar menjurus kepada isu atau sasaran yang hendak dicapai/diselesaikan.

Tetapi dalam keasyikan kita meneroka pelbagai instrumen pengurusan dan penelitian untuk approach & action ini, hendaklah para pendakwah memberikan perhatian yang mendalam dan berterusan pada paksi atau kerangka fikir yang jelas pemahamannya terhadap manhaj, maratib amal, marhalah semasa dan awlawiyat bagi amal dakwahnya. Suatu kerugian yang besar apabila para pendakwah yang bersemangat, kental serta kuat aspek ruhiyyahnya tetapi tidak mempunyai kefahaman yang jelas tentang kerangka amalnya yang syumul dan asli.

Banyak tulisan du’at yang menggariskan kepada kita fiqh dakwah kontemporari yang hebat dan bagi saya, karangan Syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid seperti al-Muntalaq, ar-Raqaiq, al-Awa’iq, Sinaatul Hayah dan al-Masar seharusnya menjadi bahan asas buat pendakwah. Jika berkemampuan, maka telaahlah Usul Ifta’, dengan bimbingan rakan dakwah dan murobbi yang beramal.

Jangan biarkan hasil amal kita bertebaran dan gagal membentuk suatu ketumbukan yang ampuh untuk menghadapi musuh utama kita, ya’ni syaitan. Syaitan akan sentiasa berusaha melambatkan usaha kita menegakkan syariat Islam di muka bumi ini. Semuanya agar syaitan mendapat teman yang baik untuknya di neraka kelak.

Ibnu Qayyim al-Jauzi menjelaskan di dalam kitabnya Talbis Iblis, sekiranya iblis sudah gagal membawa anak Adam kepada syirik hatta perkara-perkara sunat, maka ia akan menjungkir balikkan awlawiyat(keutamaan) seorang mukmin dalam hidupnya. Moga kita diberi hidayah dan taufik dari Allah s.w.t. untuk terus melonjakkan hasil amal kita, insyaAllah.

Penapistola
Bangi, 23 Disember 2014, 2345 hrs.

Menjadi Tuan Tanah

Memiliki sebidang tanah tidak menjamin apa-apa kekayaan melainkan bersama pemilikan itu ada jiwa yang sedia menjadi Tuan Tanah. Seorang yang miskin bisa kekal papa dengan tanahnya jika tiada pada dirinya keinginan dan usaha untuk melombong segala kekayaan di tanahnya. Dan tidaklah pula kekayaan itu akan kekal bersamanya jika ia tidak punya cita-cita dan matlamat untuk mewariskannya kepada generasi seterusnya kemewahan yang dikecap itu.

Tidak sekadar menggali kekayaan, ia akan kembangkan dan wariskan agar tidak lagi pewarisnya papa dan mengais mencari rezeki.

Dasar pandang ke timur suatu masa dahulu mempunyai banyak mesej mendalam. Namun, sudut pandang kita terhad hanya pada zahir negara Jepun dan Korea Selatan. Kita gagal mengambil iktibar dari sikap tuan tanah mereka. Pengalaman saya ke Jepun dan Korea antara 2012 – 2014 mengajar saya beberapa sikap yang amat mendalam dan kuat pada mereka.

1. Kecintaan pada budaya dan identiti mereka yang telah membentuk jatidiri mereka.
2. Kecintaan dan rasa terikat (affection) pada tanah air mereka sehingga membuatkan mereka sanggup berkorban tidak mengecap kekayaan yang sedikit demi kemajuan negara, untuk generasi seterusnya.
3. Rasa tinggi dengan kedudukannya sebagai pemilik dan penjaga tanah air. Pelawat serta sesiapa sahaja yang hadir perlulah menghormati budaya setempat.

Sikap-sikap ini justeru hendaklah kita sebagai orang Melayu Islam terapkan dalam mentaliti kita dengan objektif yang positif dan progresif. Sebagai tuan tanah yang telah mempertahankan tanah ini dari penjajahan sejak sekian lama, wajarlah kita memiliki sifat yang serupa sebagaimana orang timur telah melakukannya. Dengan kecintaan mendalam dan keterikatan yang utuh dengan tanah air ini.

Kita bukanlah orang bodoh dan malas seperti tuduhan sesetengah pihak yang berniat menjatuhkan moral dan kredibiliti orang Melayu Islam. Propaganda ini telah dijalankan sekian lama, selama propaganda yahudi bahawa dunia zalim terhadap mereka sedangkan merekalah guru kepada para penzalim. Orang timur adalah pembangun benua timur sebagai mana orang barat adalah pembangun benua barat. Begitulah orang Melayu adalah pembangun Nusantara dan Islam kekal pada kedudukannya sebagai pembangun tamadun manusia seluruh dunia. Ia bukanlah perkara yang mustahil, kerana Jepun telah membangun negaranya dengan identiti Jepun, China dengan identiti China, Korea Selatan dengan identitinya. Justeru mengapa tidak Nusantara dengan identiti Melayu Islamnya?

Sudah cukup lama kita dimamah rasa tamak diri sendiri. Kita juga sudah terlalu lemah dek dengki dan kesumat sesama sendiri. Ia adalah penyakit yang mematikan. Penyakit yang telah membenam cita-cita pembangunan negara dan bangsa serta penegakkan agama. Pengalaman sesetengah kita berhadapan individu yang inginkan kekayaan lebih dari pembangunan bermakna (meaningful progress) pastinya telah meremukkan jiwa perjuangan kita. Seperti ketua yang sanggup menang jadi arang kalah jadi abu, menghentikan projek-projek bertaraf dunia hanya kerana ia tidak mendapat ‘bahagian’nya atau ‘bos’ yang sanggup mematikan anak buahnya hanya kerana daya kritis dan kreatifnya sedikit ke hadapan dari dirinya. Inilah antara penyakit yang telah mematikan kita. Sudah sampai masanya kita ketepikan golongan naf’ie (mencari manfaat sendiri) ini dari barisan kepemimpinan dan menggantikan dengan golongan yang cinta dan sayangkan tanah airnya dan generasinya untuk maju ke hadapan, ikhlas sebagai ibadah kepada Allah.

Bahkan kita juga telah lama dimamah rasa rendah diri, ketundukan yang berlebihan kepada golongan yang singgah ke tanah air ini. Baik barat mahupun timur, kita terpana di bawah kilauan material mereka sedangkan hakikatnya ia hanya singgah menjarah hasil tanah ini. Sedangkan kitalah tuan tanah dan tidaklah lebih dari ia, hanya menyewa. Kita yang akan tinggalkan tanah ini kepada generasi seterusnya, mengapa mereka yang diberi segalanya? Ke mana perginya kejantanan sang tuan tanah mengingatkan kepada si penyewa? Jangan kerana sewa bulanannya menyebabkan kita menikus hingga ia menjadi tuan, kita menjadi peraih simpati. Itu bacul namanya.

Sesungguhnya bukanlah seruan ini untuk kita menzalimi orang yang menunaikan hak negara ini dengan sempurna. Tetapi ia adalah seruan untuk tuan tanah mempunyai mentaliti sebagai tuan tanah. Dengan penuh tanggungjawab dan objektif pembangunan negara yang jelas serta kesediaan untuk berkorban demi mengangkat martabat dan kedudukan negara ini di mata dunia, pada tempatnya. Tiada lagi persetan yang pentingkan diri dan murai bacul mencanang itu dan ini dari para penyinggah, hanya untuk meraih keuntungan dirinya.

Inilah generasi tuan tanah yang ingin kita bentuk. Yang tidak segan bertutur bahasanya dihadapan kuasa dunia, tidak takut menuntut demi kedaulatan negaranya dan tidak lokek untuk pembangunan rakyatnya. Generasi tegap, objektif, progresif, tidak bacul dan ‘izzah dengan jatidirinya sebagai muslim, dari rumpun melayu.

Wa Mu’tasim !

Seorang muslimah dilecehkan oleh seorang lelaki Rom ketika pemerintahan Khalifah al-Mu’tasim bin Harun al-Rasyid. Dipakunya kain muslimah itu di tempat duduknya, bila dia bangun, maka terdedahlah aurat muslimah itu. Lantas muslimah itu pantas menjerit, "Wa Mu’tasim !".

Al-Mu’tasim tidak menunggu lama untuk ia mengerahkan tenteranya ke Rom dengan jumlahnya sepenuh perjalanan dari istana Mu’tasim ke medan perang di Rom. 30,000 tentera Rom mati, 30,000 ditawan. Dan lelaki yang melecehkan wanita itu ditangkap dan dijadikan hamba kepada muslimah itu.

Siapakah Al-Mu’tasim? Khalifah.
Siapakah Rom? Bukan mad’u tetapi musuh yang telah melecehkan seorang muslimah.

Ia tidak mengambil langkah berunding dengan raja Rom atas kebiadapan rakyatnya ke atas seorang muslimah di tanah Rom. Ia tidak mengambil jalan memaafkan dengan mudah. Ia tahu tindakan itu adalah pelecehan ke atas syiar Islam yang merupakan perintah Allah ke atas mu’min.

Kini datang berita tentang seorang guru wanita yang di arah menaggalkan tudungnya untuk terus mengajar di sebuah sekolah cina. Tidak kurang juga majikan yang menyatakan syarat untuk pekerjanya tidak bertudung jika ingin diterima. Biasa juga majikan yang tidak mengizinkan pekerjanya berhenti untuk solat. Pelecehan itu kini berlaku semakin acap. Tetapi laungannya mencari khalifah pasti tidak akan membuahkan hasil. Hatta mereka pastinya terkedu, pada siapa hendak diadu?!

Itulah kita sekarang. Tiada siapa yang akan menghantar tenteranya menuntut bela atas pelecehan terhadap syariat Allah itu. Bahkan lebih menjelikkan lagi apabila ada yang menyalahkan orang yang cuba bertindak membela nasib umat ini dengan tuduhan tidak berhikmah dan sebagainya.

Setelah lama harakah Islam bertapak di Malaysia, kita masih tidak punya pemimpin seperti al-Mu’tasim untuk membela maruah umat ini. Semenjak dari 1924 setelah Kamal Attaturk menjatuhkan khalifah Islam, hinggalah kini kita dilecehkan oleh golongan kuffar dan mulhid tanpa pembelaan. Harakah Islam samada terperangkap dengan rentak pragmatis politik demokrasi liberal atau terjerat dalam kelemahan membangun umat berkemampuan dan beragenda. Ketandusan ini perlu berakhir.

Sudah sampai masanya maruah umat ini dibangunkan oleh generasi al-Mu’tasim yang meletakkan agamanya sebagai rujukan dan sandaran. Sudah sampai masanya generasi pemimpin semantap Solahuddin bangkit dibimbing ulama sehebat Al-‘Izz Ibn Abdus Salam dan digerakkan mujahid segigih al-Banna dan al-Maududi. Tiada lagi pemimpin yang masih ragu untuk mati syahid, ulama’ yang diikat kaki dan tangannya atau lebih teruk yang hidup disuap. Tiada lagi pendokong yang culas dan lemah semangat jihadnya atau gopoh ingin memetik hasil. Kita perlu beranjak dan terlibat dalam perubahan berdasarkan manhaj nubuwwah.

Dan kita perlu merawat penyakit jiwa lemah atas alasan berhikmah yang sudah terlebih dos. Kita perlu kenal siapa mad’u dan siapa musuh. Jika yang dihadap itu menuntut ditinggalkan perintah Allah atau hingga struktur kenegaraan diubah dan nyata merugikan Islam, menjauhkan lagi jalan islah, sepatutnya kita tidak melihat itu sebagai mad’u dan kita tidak akan duduk bersamanya, melainkan kita sudah ketandusan mad’u. Berhadapan dengannya adalah dengan kaedah al-Mu’tasim, bukan dengan jalan bacul.

Sedang aurat yang dileceh diperangi sehabisnya, inikan pula hingga diarah meninggalkan syariat Islam

Berada Di Dalam Lingkaran

Dalam dunia dengan sedikit kekangan komunikasi, generasi baru tarbiyyah semakin mudah dicapai. Maklumat dan berita dapat disampaikan dengan segera. Keberkesanan sistem komunikasi moden dan global membolehkan revolusi berlaku melalui medium komunikasi semudah 140 abjad.

Inline image 1

Namun di dalam kelajuan komunikasi kita, generasi muda semakin hilang penghayatan terhadap menjaga kesahihan dan keperluan menjaga amanah. Kerana mudahnya menyampaikan bahkan menghubungi, kita cenderung melakukan perkara yang silap.

Di dalam amal jama’i, kita bergerak dalam kesinambungan. Pimpinan memberi pengarahan, jundiy menerima dan melaksana, dalam satu amal kolektif. Kepayahan mengumpul manusia untuk beramal jama’i adalah satu cabaran, namun kini cabaran seterusnya adalah mendidik orang untuk beramal dengan displin amal jama’i.

Pesanku buat generasi muda seperti aku:

  1. Urus maklumat – pastikan kesahihan sumber dan pastikan amanah yang ada pada kita. Tidak semua yang kita tahu perlu kita sampaikan. Dan jika perlu, mungkin bukan pada orang tertentu. Dan jika ia adalah orangnya, boleh sahaja belum waktunya. Urus maklumat. Ketahui dengan jelas dan terang, yang mana maklumat dakwah yang perlu disampaikan, dan yang mana maklumat organisasi yang perlu dilindungi.
  2. Urus saluran – semat dalam jiwa dan sanubari kepentingan menjaga saluran maklumat. Alat komunikasi yang hebat bukanlah alasan untuk menerobos saluran yang ada untuk mencari maklumat. Jika ada mas’ul, rujuk mas’ul. Jika ada naqib usrah, rujuk naqib usrah. Ketahui saluran yang betul. Ia bukan hanya bab jaga hati, lebih penting menjaga amanah terhadap maklumat.
  3. Urus nafsu – dalam kecepatan yang kita mahukan, didik jiwa agar berdisplin menjaga keutuhan dan integriti amal jama’i kita.

Kita sudah melihat banyak kumpulan kecundang kerana lemah menjaga maklumat. Jika kita ingin mempersiap kepada menjadi pemimpin ummah dan watan, maka belajarlah untuk menjaga integriti maklumat dan komunikasi kita.

Jangan berangan nak menerajui negara andai isu maklumat dan komunikasi pun masih caca merba. Bersyukurlah kita tidak sampai ke tahap perlu menghafal segala perkara, tanpa rekod, tanpa ditulis. Namun jangan sampai leka hingga hilang DISPLIN AMAL JAMA’I.

Menyakitkan Hati Adalah Antara Kesempurnaan

This is the best. 

Ahmad Ar-Rasyid dalam al-Masar memperkenalkan satu terma – muraghamah – menyakitkan hati/menjengkelkan musuh. Beliau menceritakan sifat ini yang perlu ada pada mukmin yang dinamis dalam amal dan kefahamannya. Bukan seorang anti-pragmatis atau pasif. Ia menjengkelkan musuh dengan kebijakan dan jasadnya. Hingga musuh yang melihatnya menjadi benci dan gerun.

Dhirar al-Azwar pernah berjalan dengan gaya angkuh sewaktu perang. Tindakannya diiakan oleh Nabi s.a.w. kerana ia medan perang. Ia dibolehkan menyakitkan hati musuh. Begitu juga dalam firman Allah s.w.t., dalam surah at-Taubah ayat 102 dan surah al-fath, ayat 29. Menjengkelkan hati para musuh Allah adalah antara kehendak Allah s.w.t, dengan kekuatan mukmin.

Namun dalam situasi sekarang, syaitan telah berjaya dalam kempen menyesatkan anak Adam dengan mengelirukan kefahaman dan fikrah terhadap para pejuang islam. Hanyasanya saat ia ampuh dan tegar menjadi siddiqin, syaitan menjatuhkannya hingga ia jauh dari muraghamah terhadap musuh. Ia tewas. menjadi bahan permainan syaitan.

Adapun golongan yang berjuang dengan kesedaran dan kematangan jiwa, ia mampu meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya. Fikrahnya bergerak atas realiti, pragmatis, bukan teoritis. Ia tidak akan berputar kepada mengharap penerimaan orang, sebaliknya bertumpu pada penerimaan Allah s.w.t.

Dalam kekeliruan semasa, dan lemahnya keupayaan harakah islam menguasai massa dan ra’yul am, maka kebanyakan harakah islam memilih untuk lebih apologetik dan tidak pragmatis dalam tindakan. Ia mengambil sebahagian dari hikmah pendakwah terdahulu dan meninggalkan sebahagiannya. 

Globalisasi fikrah jahiliyyah adalah antara sebab muraghamah disingkirkan dari diari pendakwah. Anehnya, ia tidak berusaha menglobalisasikan fikrah islam yang syumul dan tegap. 

Mungkin kerana jalannya penuh cemuhan. Dalam kebiasaan ia hidup tenang, mewah dan selesa, cemuhan dan ‘rejection’ masyarakat adalah sesuatu yang ia janggal saat menegakkan risalah dan syariat.

Politik Menjajah

Kita ditembusi banyak anasir luar, tanpa mengira arah mahupun warna. Kita dicerobohi melalui pintu yang paling kita tidak sangka. Dengan cara yang kita tidak sempat jejaki. Setiap mata marahen yang memandang hanya akan dapat melihat keindahan saduran emas nipis dan kilauan kaca yang menutupi besi buruk berbisa. Begitulah juga bagaimana revolusi pembebasan yang berlaku di Sepanyol, Perancis dan seumpamanya berlaku suatu ketika dahulu. 

Di awal sejarah perubahan sosial dunia, penjajahan hanya dapat diertikan dengan kekuatan. Dengan keterbatasan hubungan, hanya keringat dan kederat menjadi kayu ukur. Namun apabila yang lemah turut ingin merasai kekuasaan, benteng keringat dan kederat dihakis dengan fikiran, seterusnya pelbagai penciptaan agar kederat dan keringat hanya memiliki sebahagian dari kekuasaan hakiki. 

Menyusup masuk dalam sistem sosial manusia, adalah kaedah yang paling kurang risiko tetapi nyata berkesan. Mengesani jiwa dan cara fikir, seterusnya membawakan wayang kulit yang teratur dan jalan cerita yang indah menjadikan penjajahan lebih menyeronokkan, tanpa kehancuran dan pertumpahan darah melampau. Ini telah berlaku kepada Turki Uthmaniyyah hasil kerja Lawrence. Begitu juga di Libya, hasil susunan tentera Italy. Begitu juga di kebanyakan negara Islam kini. Yang terbaru adalah Mesir. Namun pementasan yang hodoh menyebabkan wajah perjuangan rakyat kekal utuh dan berseri dengan darah syuhada yang membangkitkan aroma jihad dan wangian syahid.

Kini di tanah air kita, musuh agama ini tidak perlu bersusah payah mengemudi armada laut dan udaranya untuk membedil dan menjarah tanah subur ini. Jika ada cendekiawan yang berpijak di bumi nyata dan tidak hanya berseloka dengan kata-kata dan pentas bicara, pasti ia akan dapat melihat pementasan wayang kulit yang menarik ini dari podium atas. 

Ia kan lihat tukang karutnya melenggang arca dan ia kan mampu membaca gelek arca di depan tirai. 

Kisahnya sama. 

  1. Cetuskan konflik atau perselisihan bagi memantau dan membaca posisi padangan umum terhadap isu. Saat ini ia akan mengenal pasti siapakah pemainnya. Satu contoh di Malaysia, adalah usul menjadikan kafir sebagai peguam syar’i serta usul bidang kuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil. Isu diketengahkan, riak umum dibaca, pemain utama dikenal pasti. Langkah seterusnya diatur.
  2. Susup masuk ke pintu yang a) boleh dikumpul pengaruh dan legitimate, b) punyai kedudukan utuh di kedua belah pihak pemain utama – neutral, c) golongan pro-musuh tidak akan tertarik untuk sertainya. Dalam isu undang-undang syariah kita, Bar Council, SIS, IRF etc merupakan pintu yang baik dan berkesan. Mereka legitimate, seolah neutral dari dampak nama dan imejnya serta tidak akan digemari oleh golongan berkopiah yang majoritinya suam-suam dayus. 
  3. Mencairkan terma dan ‘uruf(kebiasaan) yang sudah menjadi pegangan umum. Permainan bahasa dan istilah, melibatkan pengistilahan berdasarkan bawaan dari luar, melemahkan kredibiliti sumber rujukan utama serta menanam pendirian ‘global inclusiveness’ adalah antara langkah yang biasa dibuat. Dalam isu undang-undang syariah kita, penglibatan agensi PBB, HAM, pengemudian NGO sesat dan penampilan individu yang kononnya pejuang dari rakyat seperti dari SIS, IRF, projek dialog, lepak maqasid etc merupakan kaedah yang berkesan dalam permainan melenturkan terma dan ‘uruf ini. 
  4. Membina rangkaian dan kedudukan bagi mendapatkan kuasa melobi yang lebih baik. Di waktu ini, pelbagai sandiwara akan dilaksanakan. Pelbagai watak batu dan arca berkilat akan diketengahkan. Kata-kata dan ucapan akan diukir di atas lembaran emas, dipasak di tengah langit dengan tiang dari intan dan permata. Sehingga semuanya tidak mungkin menjadi keji melainkan mulia dan indah belaka. ‘Saya akan menjadi seperti khalifah umar abd aziz.’, ‘kita berjuang bersama anda untuk hak kita semua.’, ‘kita telah dianiaya dan dizalimi.’, ‘kita mahu bergerak ke hadapan, lebih progresif dan mencapai kedudukan yang sepatutnya.’ dan seumpamanya adalah bicara politik menjajah.
  5. Akhirnya ia akan mengemudi hala tuju sosial. Membawa kepada apa yang ia inginkan. Jauh dari al-Quran, sunnah dan pegangan mereka yang muktabar. Dan golongan yang kekal bersama Quran dan sunnah akan menjadi rakyat kelas terakhir, dengan dogtag ‘JUMUD’. 

Jangan sekali-kali memandang rendah dengan susupan penjajah generasi baru. Jangan terpedaya dengan permainan sang kelembai ini. Tiada tempat lain akan ia tuju, hanya murka dari Sang Pencipta di lembah kekejian peminum nanah dan peratah zaqqum. Bermandi api hitam dalam siulan sengsara iblis. 

Aku tinggalkan kamu dengan jaganya aku mencari wangian bidadari dan indahnya wajah khatimul anbiya’, Muhammad s.a.w. Hingga akhirnya aku dikurniakan nikmat melihat Rabbku. Jangan sesekali engkau suka aku tinggalkan. Tanpa pernah jemu.

 

Ke Mana Anwar Ingin Belayar?

Blackout masih terus berlaku. Seterika rumah aku yang jatuh rosak menyebabkan rumah aku blackout. Tapi aku selesaikan dengan buka peti fius dan tolak tuil fius yang sepatutnya. Ia menyelesaikan masalah. Tapi blackout masa PRU13, lampu dah menyala, tapi kapal Anwar masih belayar dalam gelap. Apalagi Anwar mahu?

DAP telah meneruskan pelayaran. Kapal DAP ada nakhoda dan pembaca peta yang mahir. Tukang masaknya pun berkaliber. Ia tidak perlu gusar dengan badai yang melanda. Ia selesaikan dengan kapal yang baik, kelasi yang mantap dan destinasi yang dipersetujui – malaysian malaysia yang berdiri atas dasar sosialis. Dengan dokongan Socialist International. Siapalah pejuang Islam yang sokong sangat sosialis nih? Apalah yang pejuang islam mahu?

Majoriti yang turun makin berkurang. Tapi Anwar masih mendesak. Apakah agenda Anwar? Ia sudah menang Permatang Pauh. Apa yang akan orang Permatang Pauh harapkan dari Anwar? Agar Anwar jadi PM buat pertama kali. Anwar telah berjanji nak jadi pensyarah. Mungkin gaji pensyarah tak cukup banyak untuk Anwar bayar balik pemberian ‘funder’nya yang banyak. Maka Anwar perlu kejar juga kerusi PM. Walaupun terpaksa membudakkan budak-budak.

Agenda perubahan kita apa? Ini adalah satu masalah yang besar. Perubahan yang kita inginkan berdiri atas isu urus tadbir. Jauh dari kehendak rakyat meninginkan perubahan demi kehidupan pengabdian kepada Allah. Suasana semasa di Turki menggambarkan kepada kita perang ideologi yang berterusan sepertimana yang berlaku di Mesir. Urus tadbir sahaja tanpa melibatkan agama, ya, masyarakat suka. Tetapi bila pelaksanaan sesuatu sistem atau polisi yang bercirikan islam dan pengabdian kepada Allah, tentangan akan melonjak kembali. Begitulah undang-undang alam yang hakiki – peperangan ini adalah antara iblis dan bani adam.

Dengan pendekatan Anwar, yang konon mengharap pilihanraya yang adil, jelas sekali Anwar sedang kecewa kerana pilihan rakyat tidak berpihak kepadanya. Bahtera Najib sekalipun banyak lubang, tetapi destinasinya lebih rakyat percayai berbanding destinasi Anwar. Sudah sampai masa Anwar berundur, memberikan laluan kepada intern-nya untuk mencuba pula. Lim Kit Siang tidak perlu menjadi PM, tetapi ia punyai 38 kerusi Parlimen dan parti yang teguh, serta tidak lupa sebuah negeri. Samada Anwar labuhkan kapalnya sebentar untuk menyusun apa yang patut atau ia berlabuh, turun ke pelabuhan dan menjadi koordinator buat kapal-kapalnya.

Atau boleh sahaja ia belayar dan tenggelam dalam ribut politik liberal demokrasi ini dan blackout nya.

Tetapi kita perlu memilih jalan yang diredhai Allah, biar bahtera Anwar kelihatan berkilauan.