Menyakitkan Hati Adalah Antara Kesempurnaan

This is the best. 

Ahmad Ar-Rasyid dalam al-Masar memperkenalkan satu terma – muraghamah – menyakitkan hati/menjengkelkan musuh. Beliau menceritakan sifat ini yang perlu ada pada mukmin yang dinamis dalam amal dan kefahamannya. Bukan seorang anti-pragmatis atau pasif. Ia menjengkelkan musuh dengan kebijakan dan jasadnya. Hingga musuh yang melihatnya menjadi benci dan gerun.

Dhirar al-Azwar pernah berjalan dengan gaya angkuh sewaktu perang. Tindakannya diiakan oleh Nabi s.a.w. kerana ia medan perang. Ia dibolehkan menyakitkan hati musuh. Begitu juga dalam firman Allah s.w.t., dalam surah at-Taubah ayat 102 dan surah al-fath, ayat 29. Menjengkelkan hati para musuh Allah adalah antara kehendak Allah s.w.t, dengan kekuatan mukmin.

Namun dalam situasi sekarang, syaitan telah berjaya dalam kempen menyesatkan anak Adam dengan mengelirukan kefahaman dan fikrah terhadap para pejuang islam. Hanyasanya saat ia ampuh dan tegar menjadi siddiqin, syaitan menjatuhkannya hingga ia jauh dari muraghamah terhadap musuh. Ia tewas. menjadi bahan permainan syaitan.

Adapun golongan yang berjuang dengan kesedaran dan kematangan jiwa, ia mampu meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya. Fikrahnya bergerak atas realiti, pragmatis, bukan teoritis. Ia tidak akan berputar kepada mengharap penerimaan orang, sebaliknya bertumpu pada penerimaan Allah s.w.t.

Dalam kekeliruan semasa, dan lemahnya keupayaan harakah islam menguasai massa dan ra’yul am, maka kebanyakan harakah islam memilih untuk lebih apologetik dan tidak pragmatis dalam tindakan. Ia mengambil sebahagian dari hikmah pendakwah terdahulu dan meninggalkan sebahagiannya. 

Globalisasi fikrah jahiliyyah adalah antara sebab muraghamah disingkirkan dari diari pendakwah. Anehnya, ia tidak berusaha menglobalisasikan fikrah islam yang syumul dan tegap. 

Mungkin kerana jalannya penuh cemuhan. Dalam kebiasaan ia hidup tenang, mewah dan selesa, cemuhan dan ‘rejection’ masyarakat adalah sesuatu yang ia janggal saat menegakkan risalah dan syariat.

Advertisements

Politik Menjajah

Kita ditembusi banyak anasir luar, tanpa mengira arah mahupun warna. Kita dicerobohi melalui pintu yang paling kita tidak sangka. Dengan cara yang kita tidak sempat jejaki. Setiap mata marahen yang memandang hanya akan dapat melihat keindahan saduran emas nipis dan kilauan kaca yang menutupi besi buruk berbisa. Begitulah juga bagaimana revolusi pembebasan yang berlaku di Sepanyol, Perancis dan seumpamanya berlaku suatu ketika dahulu. 

Di awal sejarah perubahan sosial dunia, penjajahan hanya dapat diertikan dengan kekuatan. Dengan keterbatasan hubungan, hanya keringat dan kederat menjadi kayu ukur. Namun apabila yang lemah turut ingin merasai kekuasaan, benteng keringat dan kederat dihakis dengan fikiran, seterusnya pelbagai penciptaan agar kederat dan keringat hanya memiliki sebahagian dari kekuasaan hakiki. 

Menyusup masuk dalam sistem sosial manusia, adalah kaedah yang paling kurang risiko tetapi nyata berkesan. Mengesani jiwa dan cara fikir, seterusnya membawakan wayang kulit yang teratur dan jalan cerita yang indah menjadikan penjajahan lebih menyeronokkan, tanpa kehancuran dan pertumpahan darah melampau. Ini telah berlaku kepada Turki Uthmaniyyah hasil kerja Lawrence. Begitu juga di Libya, hasil susunan tentera Italy. Begitu juga di kebanyakan negara Islam kini. Yang terbaru adalah Mesir. Namun pementasan yang hodoh menyebabkan wajah perjuangan rakyat kekal utuh dan berseri dengan darah syuhada yang membangkitkan aroma jihad dan wangian syahid.

Kini di tanah air kita, musuh agama ini tidak perlu bersusah payah mengemudi armada laut dan udaranya untuk membedil dan menjarah tanah subur ini. Jika ada cendekiawan yang berpijak di bumi nyata dan tidak hanya berseloka dengan kata-kata dan pentas bicara, pasti ia akan dapat melihat pementasan wayang kulit yang menarik ini dari podium atas. 

Ia kan lihat tukang karutnya melenggang arca dan ia kan mampu membaca gelek arca di depan tirai. 

Kisahnya sama. 

  1. Cetuskan konflik atau perselisihan bagi memantau dan membaca posisi padangan umum terhadap isu. Saat ini ia akan mengenal pasti siapakah pemainnya. Satu contoh di Malaysia, adalah usul menjadikan kafir sebagai peguam syar’i serta usul bidang kuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil. Isu diketengahkan, riak umum dibaca, pemain utama dikenal pasti. Langkah seterusnya diatur.
  2. Susup masuk ke pintu yang a) boleh dikumpul pengaruh dan legitimate, b) punyai kedudukan utuh di kedua belah pihak pemain utama – neutral, c) golongan pro-musuh tidak akan tertarik untuk sertainya. Dalam isu undang-undang syariah kita, Bar Council, SIS, IRF etc merupakan pintu yang baik dan berkesan. Mereka legitimate, seolah neutral dari dampak nama dan imejnya serta tidak akan digemari oleh golongan berkopiah yang majoritinya suam-suam dayus. 
  3. Mencairkan terma dan ‘uruf(kebiasaan) yang sudah menjadi pegangan umum. Permainan bahasa dan istilah, melibatkan pengistilahan berdasarkan bawaan dari luar, melemahkan kredibiliti sumber rujukan utama serta menanam pendirian ‘global inclusiveness’ adalah antara langkah yang biasa dibuat. Dalam isu undang-undang syariah kita, penglibatan agensi PBB, HAM, pengemudian NGO sesat dan penampilan individu yang kononnya pejuang dari rakyat seperti dari SIS, IRF, projek dialog, lepak maqasid etc merupakan kaedah yang berkesan dalam permainan melenturkan terma dan ‘uruf ini. 
  4. Membina rangkaian dan kedudukan bagi mendapatkan kuasa melobi yang lebih baik. Di waktu ini, pelbagai sandiwara akan dilaksanakan. Pelbagai watak batu dan arca berkilat akan diketengahkan. Kata-kata dan ucapan akan diukir di atas lembaran emas, dipasak di tengah langit dengan tiang dari intan dan permata. Sehingga semuanya tidak mungkin menjadi keji melainkan mulia dan indah belaka. ‘Saya akan menjadi seperti khalifah umar abd aziz.’, ‘kita berjuang bersama anda untuk hak kita semua.’, ‘kita telah dianiaya dan dizalimi.’, ‘kita mahu bergerak ke hadapan, lebih progresif dan mencapai kedudukan yang sepatutnya.’ dan seumpamanya adalah bicara politik menjajah.
  5. Akhirnya ia akan mengemudi hala tuju sosial. Membawa kepada apa yang ia inginkan. Jauh dari al-Quran, sunnah dan pegangan mereka yang muktabar. Dan golongan yang kekal bersama Quran dan sunnah akan menjadi rakyat kelas terakhir, dengan dogtag ‘JUMUD’. 

Jangan sekali-kali memandang rendah dengan susupan penjajah generasi baru. Jangan terpedaya dengan permainan sang kelembai ini. Tiada tempat lain akan ia tuju, hanya murka dari Sang Pencipta di lembah kekejian peminum nanah dan peratah zaqqum. Bermandi api hitam dalam siulan sengsara iblis. 

Aku tinggalkan kamu dengan jaganya aku mencari wangian bidadari dan indahnya wajah khatimul anbiya’, Muhammad s.a.w. Hingga akhirnya aku dikurniakan nikmat melihat Rabbku. Jangan sesekali engkau suka aku tinggalkan. Tanpa pernah jemu.

 

Ke Mana Anwar Ingin Belayar?

Blackout masih terus berlaku. Seterika rumah aku yang jatuh rosak menyebabkan rumah aku blackout. Tapi aku selesaikan dengan buka peti fius dan tolak tuil fius yang sepatutnya. Ia menyelesaikan masalah. Tapi blackout masa PRU13, lampu dah menyala, tapi kapal Anwar masih belayar dalam gelap. Apalagi Anwar mahu?

DAP telah meneruskan pelayaran. Kapal DAP ada nakhoda dan pembaca peta yang mahir. Tukang masaknya pun berkaliber. Ia tidak perlu gusar dengan badai yang melanda. Ia selesaikan dengan kapal yang baik, kelasi yang mantap dan destinasi yang dipersetujui – malaysian malaysia yang berdiri atas dasar sosialis. Dengan dokongan Socialist International. Siapalah pejuang Islam yang sokong sangat sosialis nih? Apalah yang pejuang islam mahu?

Majoriti yang turun makin berkurang. Tapi Anwar masih mendesak. Apakah agenda Anwar? Ia sudah menang Permatang Pauh. Apa yang akan orang Permatang Pauh harapkan dari Anwar? Agar Anwar jadi PM buat pertama kali. Anwar telah berjanji nak jadi pensyarah. Mungkin gaji pensyarah tak cukup banyak untuk Anwar bayar balik pemberian ‘funder’nya yang banyak. Maka Anwar perlu kejar juga kerusi PM. Walaupun terpaksa membudakkan budak-budak.

Agenda perubahan kita apa? Ini adalah satu masalah yang besar. Perubahan yang kita inginkan berdiri atas isu urus tadbir. Jauh dari kehendak rakyat meninginkan perubahan demi kehidupan pengabdian kepada Allah. Suasana semasa di Turki menggambarkan kepada kita perang ideologi yang berterusan sepertimana yang berlaku di Mesir. Urus tadbir sahaja tanpa melibatkan agama, ya, masyarakat suka. Tetapi bila pelaksanaan sesuatu sistem atau polisi yang bercirikan islam dan pengabdian kepada Allah, tentangan akan melonjak kembali. Begitulah undang-undang alam yang hakiki – peperangan ini adalah antara iblis dan bani adam.

Dengan pendekatan Anwar, yang konon mengharap pilihanraya yang adil, jelas sekali Anwar sedang kecewa kerana pilihan rakyat tidak berpihak kepadanya. Bahtera Najib sekalipun banyak lubang, tetapi destinasinya lebih rakyat percayai berbanding destinasi Anwar. Sudah sampai masa Anwar berundur, memberikan laluan kepada intern-nya untuk mencuba pula. Lim Kit Siang tidak perlu menjadi PM, tetapi ia punyai 38 kerusi Parlimen dan parti yang teguh, serta tidak lupa sebuah negeri. Samada Anwar labuhkan kapalnya sebentar untuk menyusun apa yang patut atau ia berlabuh, turun ke pelabuhan dan menjadi koordinator buat kapal-kapalnya.

Atau boleh sahaja ia belayar dan tenggelam dalam ribut politik liberal demokrasi ini dan blackout nya.

Tetapi kita perlu memilih jalan yang diredhai Allah, biar bahtera Anwar kelihatan berkilauan.

Bicara Tuah Yang Awal

Seorang sahabatku menulis, bagai Tuah menasihati Tun Perak. Dengan adab dan dengan yakin, agar Jebat tidak terus dihukum. Ia sayang akan perjuangannya, dengan intimnya seorang rekan seperjuangan.

***

Hak Istimewa orang Melayu dan Keadilan Islam

Terdapat kecenderungan golongan politikus Islamis di Malaysia yang cuba membawa penyelesaian kepada permasalahan negara dengan penyelesaian dari kaca mata Islam. Perkara ini amatlah baik dan perlu kerana Islam adalah agama yang syumul yang sepatutnya merangkumi seluruh aspek kehidupan, daripada sekecil-kecil perkara seperti membersihkan najis pada kemaluan sehinggalah kepada pemerintahan negara dan hubungan antarabangsa. Namun begitu, adalah amat perlu diberi perhatian bahawa penyelesaian yang ‘islamik’ ini kadangkala diambil secara tampal-tampalan. Kaedah-kaedah umum dalam islam seperti keadilan sejagat, hak dan kebajikan rakyat serta tanggungjawab pemerintah dilaung-laungkan secara semberono. Lebih malang lagi apabila penyelesaian yang ‘islamik’, itu hanya sekadar kosmetik, yang kelihatan cantik dari luar, tapi sebenarnya kosong dan dangkal.

Dalam banyak hal, penyelesaian yang Islamik itu sebenarnya diaplikasikan untuk menyelesaikan masalah yang sebenarnya timbul daripada lemahnya perlaksanaan Islam atau pengamalan Islam dalam cuma sebahagian kecil daripada kehidupan. Sepatutnya, penyelesaian yang sebenar adalah kembali kepada pengamalan Islam yang syumul dari segi zahir dan maknanya (forms and substance) dan bukan hanya penyelesaian yang bersifat kosmetik menggunakan kaedah umum dalam Islam yang ditafsirkan secara longgar. Itulah yang kita hadapi pada hari ini. Apabila kita memperkatakan bahawa kita perlu memberi hak samarata kepada semua rakyat atas dasar keadilan sejagat dalam Islam tanpa mengira bangsa dan agama, kita sebenarnya terlupa bahawa kita bercakap dalam negara yang belum mengamalkan Islam secara sepenuhnya.

Dalam negara Islam,  orang kafir zhimmi yang mahu duduk di bawa pemerintahan negara Islam, sememangnya memiliki hak yang sama rata dari segi kebajikan dan undang-undang (undang-undang Islam). Kaedah yang digunapakai di sini ialah Lahum ma lana wa ‘alayhim ma ‘alayna. Orang kafir zhimmi ini juga dekehendaki membayar jizyah sebagai tanda ketundukan dan penerimaan kepada sistem Islam yang mana kadarnya adalah lebih rendah daripada kadar zakat yang dikenakan ke atas orang Islam, di samping cukai yang kenakan berdasarkan keperluan negara. Di samping itu juga, terdapat had-had ke atas kuasa politik yang boleh dipegang oleh kafir zhimmi, melainkan dalam skop yang kecil. Dalam keadaan ini, hak sama rata orang kafir adalah dijamin, baik dari segi kebajikan, kebebasan mendapat keperluan asas dan mendapat layanan sama rata di sisi undang-undang.

Dalam membincangkan isu negara kita Malaysia, adakah hak sama rata ini boleh digunapakai semata-mata berasaskan prinsip keadilan Islam yang bersifat sejagat (universal)? Saya bukan mengatakan prinsip Islam tidak boleh digunapakai, namun wajarkah prinsip itu digunakan secara semberono tanpa adanya sifat-sifat negara Islam yang saya sebutkan tadi? Hak Istimewa Melayu/Bumiputera Hak istimewa orang melayu sebenarnya satu prinsip yang telah dipersetujui semasa penubuhan Persekutuan Tanah Melayu untuk mengimbangi jurang sosio-ekonomi antara pemilik asal ‘Tanah Melayu’ dan kaum-kaum yang baru menetap di Tanah Melayu melalui proses penghijrahan beramai-ramai. Dasar Pecah dan Perintah (Divide & Rule) British sebelum merdeka menyebabkan identifikasi kaum yang sangat ketara dari segi geografi dan aktiviti ekonomi, selain cuma memajukan tempat-tempat tertentu berdasarkan kepentingan British. Dasar British ini akhirnya meninggalkan kesan yang besar dalam jurang ekonomi antara kaum dan memberi kelebihan kepada kaum tertentu untuk terus menguasai bidang-bidang utama selepas kemerdekaan mengatasi peluang yang dimiliki oleh orang Melayu dan Bumiputera.

Apabila Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu digubal, dua perkara utama yang diberi perhatian adalah kedudukan agama Islam dan hak orang melayu (Raja, tanah, bahasa). Tafsiran Melayu dalam perlembagaan ini, sangat perlu untuk kita perhalusi. Melayu ditafsirkan bukan berdasarkan etnik, genetik atau biologi mahupun keturunan yang tidak boleh berubah, yang mana mereka yang lahir sebagai Melayu akan terus menjadi Melayu. Sebaliknya, Melayu dalam tafsiran perlembagaan ditafsirkan melalui bahasa, agama dan budaya. Ketiga-tiga unsur ini adalah unsur boleh ubah dan kita dapat saksikan sebahagian daripada perubahan ini secara beransur-ansur. Matlamat tafsiran Melayu dalam perlembagaan ini adalah supaya akhirnya semua bangsa yang tinggal di Tanah Melayu mengalami satu asimilasi dalam satu jangka masa yang panjang dengan meletak identiti Melayu dari segi agama, bahasa dan budaya sebagai identiti yang dihasratkan.

Setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan, asimilasi dan integrasi kaum yang diharapkan ini nampaknya amat jauh daripada hasrat yang diingini, malah polarisasi kaum seakan-akan makin bertambah. Setiap bangsa masih berkeras mengekalkan identiti masing-masing melalui sistem pendidikan yang terasing dan tersendiri.

DEB : Dasar yang Menindas Kaum Lain?

Dasar Ekonomi Baru yang dilaksanakan dengan memberi penekanan kepada penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi dengan sasaran 30% ekuiti dalam persekitaran ekonomi yang berkembang, yang mana secara teorinya tidak akan menyebabkan hak kaum lain untuk maju berkurangan. DEB telahpun berakhir pada selepas 20 tahun perlaksanaannya (1971-1991). Walau bagaimanapun, sebahagian daripada perlaksanaan DEB masih kekal dalam dasar-dasar kerajaan selepas itu. Adalah tidak dinafikan bahawa DEB telah melahirkan jutawan-jutawan di kalangan orang Melayu, menambahkan bilangan orang Melayu di kalangan professional dan kelas pertengahan, dan membantu sedikit sebanyak mengubah lanskap sosio-ekonomi negara, namun jurang ekonomi antara kaum masih wujud dan sasaran penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi tidak dapat dicapai. Dalam masa yang sama, terdapat juga kelemahan dan penyalahgunaan dalam keutamaan yang diberikan kepada bangsa Melayu.

Dalam situasi ini, terdapat suara-suara yang menuntut supaya dasar yang sedia ada dirombak dan hak istimewa yang diberikan dimansuhkan. Hak istimewa yang diberi seolah-oleh telah menjadikan bangsa Melayu ‘complacent’ dan tidak mampu untuk bersaing di medan terbuka. Amat malang lagi, apabila keistimewaan-keistimewaan ini dianggap sebagai suatu yang kekal, sehingga mereka yang telahpun dibantu dengan dasar ini, kemudiannya mengharapkan bantuan yang sama diberikan kepada generasi anak-anak mereka, tanpa mereka merasakan bahawa mereka perlu untuk berdikari.

Dalam masa yang sama, wujud kebimbangan bahawa jurang sedia ada akan semakin membesar sekiranya dasar-dasar ini dirombak secara mendadak. Dalam suasana polarisasi kaum yang bertambah, pertambahan jurang sosio-ekonomi juga akan lebih merumitkan keadaan. Solusinya? Saya ingin mengajak supaya kita melihat isu jurang ekonomi antara kaum ini dalam konteks tafsiran bangsa Melayu dalam perlembagaan. Sebenarnya, hak istimewa yang diberikan kepada bangsa Melayu bukan bersifat hak yang eksklusif dan tidak boleh berubah kerana tafsiran Bangsa Melayu itu sendiri merujuk kepada perkara-perkara yang boleh berubah. Seandainya cita-cita asimilasi dan integrasi kaum yang dihasratkan berhasil, maka hak-hak yang dikecapi oleh mereka yang secara etniknya berbangsa melayu atau bumiputera lain, juga boleh dikecapi oleh etnik lain yang telah menjadi ‘Melayu’.

Saya berpandangan bahawa segala perubahan kepada dasar-dasar sedia ada perlu dibuat dengan teliti dan beransur-ansur.  Bagi saya, sebahagian daripada dasar-dasar ini tiada salahnya, yang lemah dan salah adalah perlaksanaannya yang sangat perlu diperbaiki dan diperhalusi. Kita juga perlu melihat kepada penyelesaian yang bukan hanya dalam bentuk material seperti peluang mendapat pendidikan, lesen perniagaan, kuota-kuota, subsidi dan bantuan. Penekanan juga perlu diberikan kepada pembangunan jatidiri dan akhlak bangsa. Nilai-nilai murni perlu dipupuk sehingga generasi yang lahir akhirnya mampu berdikari dan merasa malu untuk terus bergantung kepada keistimewaan-keistimewaan ini, bukan generasi ayam daging yang menunggu untuk dihulurkan makanan.

Islam memberi penghormatan yang tinggi kepada individu yang mampu berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan orang lain, malah hidup meminta-minta sangat dikecam dalam akhlak Islam. Islam juga mengiktiraf kewujudan bangsa-bangsa yang berbeza tetapi dalam masa yang sama memberikan penekanan bahawa kemuliaan sesuatu bangsa bukan terletak kepada bangsa tersebut, tetapi terletak kepada Islamnya.

Penyelesaian yang kita perlukan bukan hanya bersifat kosmetik. Bahkan kita perlukan penyelesaian yang menyeluruh daripada yang bersifat dalaman seperti pembentukan jiwa, jatidiri, penyelesaian dari segi perubahan persekitaran dan akhirnya pengamalan Islam yang menyeluruh dalam hidup individu, budaya masyarakat dan sistem bernegara.

***

Akhirnya identiti negara ini yang kita harapkan berdiri dalam wajah Islam dan dengan kemuliaan akhlak dan santun Melayu, tanpa berjauhan walau seinci pun dari kesempurnaan wahyu Quran dan hikmah hadith Nabi s.a.w.

Asas Kepada Binaan

Dalam dunia social media yang baru, emosi lebih boleh menguasai dalam menyampaikan pandangan kerana disitu tiada tekanan untuk pertanggungjawaban. Juga disitu tiada tekanan untuk kejujuran dan amanah. Lepas baling, sorok tangan, tiada isu.

Perkara ini menjadi satu bentuk tarbiyyah buat generasi baru. Mendidik generasi tanpa rasa tanggungjawab, tanpa amanah, tanpa kesungguhan mencari ilmu dan paling bahaya, tanpa perlu berfikir atau punya asas yang betul untuk berfikir.

Puncanya: tiada siapa akan cari aku.

Kerana itu, emosi lebih memandu berbanding akal. Dan akhirnya, musuh utama manusia, syaitan(bukan BN), menang mudah. Nafsu hanya perlu didorong. Tidak perlu diajar, tidak perlu dimomok. Manusia akan hancurkan diri dia sendiro dengan gelombang social media yang baru.

Akhirnya, kita terbuka kepada risiko terbentuknya generasi yang tidak ada garis panduan atai kerangka berfikir yang waras, apatah lagi yang mengikut syariat Islam. Kerangka jadio celaru, gila, haywire dan semacamnya. Bersepah macam cirit. Kotor, merapu, jijik dan dijauhi. Tetapi melata. Cirit dimana-mana. Masyarakat yang disgusting !

Justeru apa peranan NGO Islam? Apa pula peranan ustaz-ustaz selebriti? Jika tiada gesaan kuat, tiada agenda bahkan jika tiada manhaj bekerja, punahlah generasi depan.

Gen-crit !

Mengambil Langkah Ke Hadapan

PRU dah habis. Perang persepsi masih terus. Masih ada pamphlet perang saraf dalam peti surat aku. Dah jadi perang sarap; sampah-sarap. Booklet perang saraf ada dalam 15 dari kumpulan BN. Memang semak. Tapi aku simpan, sebab nak belajar. 

BN menang tak besar. Keputusan keluar punyalah lambat. Mungkin internet sangat perlahan malam semalam. Tapi BN hilang 7 kerusi, PKR hilang 2 dan PAS hilang 1. Yang dapat semua yang tercicir tu DAP, 10. Amekaw ! 

Penyahtuntutan: Aku bukan pendiskriminasi ras. Aku pejuang hak yang sepatutnya menjadi hak. Aku bukan pejuang kebebasan mutlaq, tapi aku pejuang kebebasan berlandaskan syara’. Allah bagi kita nikmat yang banyak, dan Allah tetapkan had bagi manusia atas setiap perkara. Manusia ada kebebasan, juga ada had. Ini asas. Baik lu muka cina tapi india atau lu muka india tetapi cina, apatah lagi kalau lu muka cina tapi melayu. Agama apa sekalipun, pandangan hak manusia dalam Islam adalah – lu ada hak dan lu ada had.

Dari senario ini, perlu kita lihat apa yang telah berlaku dan bagaimana setiap badan melaksanakan kerja bagi mendapatkan political mileage masing-masing.

DAP telah kalah teruk pada 1999 dan DAP telah keluar dari Barisan Alternatif. Mungkin ketika itu rakyat cina tidak mahu kepada ketidakstabilan yang dicetuskan oleh arus reformasi. Mereka nak hidup aman, macam aku. Sebab tu tahun 1999 aku tak kisah pasal politik, aku nak hidup aman. Aku kesah pasal sekolah sebab aku baru Form 1. 

DAP mengorak langkah mendidik masyarakat cina khususnya tentang formula politik. DAP ada unit pendidikan politiknya sendiri. Ia bergerak memberi pemahaman kepada penyokongnya khususnya masyarakat cina agar fungsi politik dan peranan awam dapat digembleng dengan efektif untuk menggapai kehidupan yang sejahtera. Tahun 2008, barulah bermula pakatan DAP dengan rakan Pakatan Rakyatnya. Tahun 2013, DAP melonjak mendahului rakan Pakatan Rakyatnya. Pendek kata, DAP buat kerja dengan tersusun dan efektif. Tidak mustahil, DAP menerapkan tadbir urus profesional dalam partinya kerana ahlinya adalah dari kalangan orang berpendidikan tinggi. 2013 – 1999 = 38 – 10 = 28 kerusi meningkat. 

PKR juga sama seperti DAP. 1999 hanya menang 5 kerusi, 2013 sudah jadi 30 kerusi. 25 kerusi meningkat oleh PKR. Mereka melaksanakan kerja dengan menilai pencapaian terdahulu.

Tapi berbeza dengan PAS. Dari 27 kerusi pada 1999, hanya 7 pada 2004, 22 pada 2008 dan 2013 pencapaiannya menurun kepada hanya 21 kerusi. PAS kehilangan 6 kerusi dari rekod lamanya ini. Menilai dari segi prestasi, jelas PAS menunjukkan prestasi turun naik 27-7-22-21. Manakala DAP terus menaik, 10-12-28-38 dan PKR 5-1-31-30.

Tapi aku tak boleh terima DAP sebab dasar partinya bukan Islam. Hanya ada sosialis dan Malaysian Malaysia. Kalau UMNO yang dasar partinya pun bukan islam aku tak join, apatah lagi DAP. Nak buat kawan, tunggu bila aku dah jadi presiden parti islam yang besar dan dominan. Ada kuasa nak tawar-menawar. Bukan hanya kuasa nak gantung bendera dan paku poster.

Pendek kata, mungkin inilah saatnya PAS mengambil langkah untuk kehadapan. Memberikan definisi jelas kepada masyarakat umum akan halatujunya. Mendidik masyarakat agar memahami peranan politik dalam Islam dan tanggungjawab muslim dalam politik, berlandaskan syariat. Kalau tidak, tak payah ada PAS, UMNO dah cukup untuk gembleng orang melayu muslim dalam politik tanpa rujukan syariat Islam.

Di situ perlu adanya penyepaduan fikrah dari segi manhaj perubahan dan pembentukan ahli yang lebih padu dan siap menggalas amanah menjadi jemaah qudwah buat yang lainnya. Penapisan ahli sebelum mencapai kepada tampuk pimpinan juga perlu dilaksanakan. Tidak menghisap rokok dan tidak melakukan dosa besar serta tidak terus melakukan dosa kecil adalah tidak khusus. Ramai yang boleh lepas. SB pun boleh. Lajnah tarbiyyah PAS perlu memperhalusi sistem pembentukan ahlinya serta menekankan aspek penapisan ahli sebelum diangkat menjadi pimpinan. Ikutlah manhaj mana pun PAS nak pakai. Tapi kerahkan markaz-markaz tarbiyyah PAS dan berikan lebih ‘kuasa’ kepada barisan murabbi PAS untuk mendominasi di markaz-markaz ini bagi mentarbiyyah ahli dengan lebih padu. 

Ini bukan nak fitnah PAS. Tapi ni persepsi aku terhadap PAS. Terlalu banyak aliran dan kelompok dalam PAS menyebabkan PAS sering terumbang-ambing. Ini adalah peluru UMNO nak lecehkan PAS dan nak psiko orang terhadap kemampuan PAS. Tohmahan kalau dijawab dengan amal, baru ketaq lutut orang menuduh. Bukan sekadar buat surat terbuka atau entry terlepas di harakahdaily sahaja. Ini tak cukup wibawa.

Tapi kalau rasa pesanan dan persepsi saya ni sampah sarap sahaja, tak apa. Maaflah, gua bagi pandangan dekat PAS. Demokrasi dan hak bersuara kan? Komen lebih-lebih, gua delete saja.

Mencari Fakta, Mengenali Auta

Aku baru selesai membaca hansard DUN Selangor. Tahun 2012, wakil PKR dari Kajang ada menjelaskan tentang perkembangan dalam sektor prasarana pendidikan bagi negeri Selangor di bawah PR. Yang faktanya hampir 10 buah SJKC telah diberikan tanah dan diluluskan untuk pembinaannya dibawah PR. Dalam pembentengannya juga YB ada sebutkan tentang perhimpunan oleh Dong Jia Zhong di Kajang yang membincangkan tentang hala tuju pendidikan, termasuk dalam perbincangan tersebut adalah isu SAR dan SJKT.

Namun dalam penerangan YB tentang nama-nama sekolah SJKC yang hampir 10 itu, YB tidak sedikitpun mengemukakan nama atau bilangan sekolah SAR/SJKT di Selangor se-detail fakta untuk SJKC. Ini juga fakta. Mengapa ‘all the effort’ jelaskan tentang pencapaian SJKC dan tiada pula tentang SAR & SJKT? Berapa bidang tanah yang kerajaan Selangor berikan untuk SAR & SJKT?

Juga tiada YB lain didalam sidang DUN itu memberikan olahan tentang SAR & SJKT di Selangor. YB Kajang menutup penerangan beliau dengan memetik kata-kata TGNA dan menggunakan terma ‘aqidah’, ‘taqwa’, ‘hembusan ilahi’, etc. Persepsi saya, YB hanya ingin memancing golongan islamis didalam sidang DUN dengan menamakan YB DUN Meru dan Sijangkang. Dan YB lain juga tiada detail tentang SAR & SJKT untuk dibentangkan kepada pembangkang Selangor, BN.

Yang autanya adalah aspirasi Islam bagi PKR itu seolah tujuan utama. Hakikatnya, objektifnya sekadar menghormati dan mengekalkan Islam sebagai agama persekutuan. Untuk menegakkan Islam berdasarkan Quran dan Sunnah, jauh sekali. Inilah sejenis auta yang menimpa pejuang islam yang tidak cukup maklumat. Keliling sana sini dengan geng liberalis, tubuh institut dengan dipacu oleh geng liberalis; geng yang menafikan negara islam dan pelaksanaan undang-undang Islam serta memutarbelitkan fikrah Islam ummat dengan fahaman putar-belit-alam.

Maka apabila ada calon muslim berwibawa bertanding menentang non-muslim dari PKR, keuntungan ummat islam lebih terjamin dengan muslim berwibawa. Kita bukan letak muslim korup atau orang berkepentingan dunia. Tetapi orang yang menghabiskan hidupnya untuk dakwah islam yang merupakan rahmatan lil-‘alamin. Jika kita inginkan rahmat islam ke atas rakyat, tiada orang yang lebih memahami aspirasi syariat dan rahmatan lil-‘alamin itu daripada orang yang memang hidup berlandaskan syariat. Tidak ada non-muslim yang lebih menjiwai kesucian Islam lebih lagi dari muslim yang komited dengan agamanya.

Seruan saya, jika anda ingin melihat kebajikan dan keuntungan berlandaskan syariat, mukmin musleh sahajalah jawapannya. UNDILAH CALON MUSLIM BERWIBAWA.

UST MUKRAM UNTUK DUN KAJANG.
UST MOHAMAD ISMAIL UNTUK PARLIMEN SUBANG.

Ayuh jentera Kajang dan Subang, gempur dengan kasih sayang dan ruh rahmatan lil-‘alamin !!