Mengintai Semula Jejak Lalu – 3

Apakah jalan dan kerja yang kita lalui sekarang bertepatan dengan pelajaran lalu atau kah ia tiada kaitan dengan sejarah dulu? Banyak usaha menelaah telah berlaku namun banyak waktu juga telaah itu tidak membumi atau tidak pula dimanfaatkan. Ini adalah masalah klasik yang terkait kumpulan yang mengapikan cita – cita dengan kumpulan yang mengerjakan cita – cita. Antara mereka tiada jambatan.

 

Dalam mengejar cita-cita terbesar seorang mu’min, tidak dapat tidak ia perlu bersentuh terus dengan manusia dan berhubung terus dengan redha Allah. Wahyu yang turun berinteraksi terus dengan kondisi semasa individu dan masyarakat. Apa yang tidak diambil perhatian oleh banyak orang adalah asas yang dibentuk serta interaksi wahyu dan manusia itu sebenarnya menjadi kekuatan membangun sebuah tamadun.

Dalam derap langkah laju globalisasi, banyak kelompok yang melupakan dan mengabaikan membangun manusia yang terikat dengan Allah. Kemajuan dan pengstrukturan sosial disusun mengikut neraca humanis hingga batas-batas ditentu ukur oleh apa yang manusia mahukan.

Akhirnya kelompongan ini mewujudkan satu jurang yang amat besar saat menyatukan antara redha Allah dan kehendak manusia pada saat semuanya seolah sudah “maju”. Ini adalah sakit yang kita sedang hadapi, rawatannya masih tidak ditemu jumpa, bukan formulanya, tetapi bagaimana memasukkan ubat ke tempat yang sakit itu.

Saat penurunan wahyu, interaksi Quran dan Sunnah dengan manusia berlaku pada segenap lapisan, sesuai dengan arus kehidupan ketika itu. Di situ tidak wujud turutan khusus tentang permasalahan dan isu semasa yang ia rawati. Populasi sedia ada sudah pun melebihi 10,000 orang. Mustahil interaksi dan bimbingan wahyu itu disusun mengikut fisiologi dan struktur akal manusia. Ia adalah tidak praktikal dan bertentangan dengan tabiat islam yang hidup dan menyempurnakan. Bukan sekadar berbahas.

Uniknya pada kandungan wahyu adalah ia melayani hakikat-hakikat atau ‘roots’ yang sebenar yang mempengaruhi keputusan manusia. Penyusunan rohani dan struktur akal oleh wahyu ini menghampiri manusia pada cara kerjanya dan pada cara fikirnya. Skop dan ruang interaksi itu adalah membekas dan menjadikan suatu tabiat tetap pada manusia yang kemudiannya kita lazimi dengan panggilan mu’min.

Adapun era Khulafa’ Ar-Rasyidin telah memberikan kita hikmah yang besar dan luas bagi memahami aplikasi dan ruang ijtihad bagi menyantuni kehendak manusia dan memenuhi kehendak Allah. Satu yang merugikan apabila ia tidak mampu mencedok pengajaran dan panduan dari Al-Quran, hadith dan sirah dalma mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

matches.jpg

Dan apa yang kritikal saat ini, adalah bukan tandusnya kita dari ilmu dan pengalaman, tetapi kehausan akal yang siap melihat, mencerna, menyusun dan membentangkan pelan perubahan bagi umat ini sesuai dengan keperluan semasa, tanpa meninggalkan prinsip-prinsip utama agama seperti yang telah dibentangkan oleh Quran, hadith dan ijtihad para ulama selepas kewafatan Nabi s.a.w.

Tajdid. Bukan sekadar minda. Tetapi keseluruhan jalan pembangunan umat islam. Supaya api keimanan dapat dinyalakan semula.

 

Mengintai Semula Jejak Lalu – 2

Sejarah perjalanan dakwah Nabi s.a.w menunjukkan tindakan dan penetapan yang mencapai kehendak Allah. Setiap peristiwa utama berlingkar di sekitar memenuhi keperluan semasa berdasarkan apa yang wahyu tuntut atau demi kebijakan strategi menundukkan makhluk kepada kehendak Tuhan. Ada pengimbang an antara kebahagiaan, senyuman buat manusia dan ada kepahitan dan kepayahan juga, tetapi ia memenuhi satu acuan yang tetap.

Melihat kembali kepada semua perkara tersebut, ia terbentuk menjadi model ikutan yang kemas dan membumi. Di situ tidak ada khayalan kerana interaksi Nabi s.a.w adalah dalam masyarakat yang wujud dan hidup. Segala kondisi masyarakat, baik kesulitan mahupun kemudahan dilihat dan dilalui dengan benar dan terlibat langsung di dalamnya. Nabi s.a.w tidak uzlah dari masyarakat dan wahyu juga tidak lari dari mengurus dan membimbing kehidupan masyarakat ketika itu secara langsung.

Ini memberi satu isyarat kepada kita bahawa pelaksanaan dakwah dan jihad adalah bagi mengurus situasi semasa untuk mencapai kehendak Allah. Ia tidak terhenti kepada kehendak manusia sahaja. Pelatihan dan bimbingan ini adalah hidup serta positif. Kesannya membekas pada hasil fizikal dan rohani, tidak berlegar hanya pada pengulangan teori, falsafah atau pandangan sahaja yang mana menghidupkan semua itu boleh jadi adalah suatu yang mustahil melainkan dalam keterasingan. Islam tidak dibentangkan dalam model sebegitu.

Keindahan Islam adalah pada kesesuaiannya dengan semua zaman, kerana manusia pada hakikatnya tidak berubah. Manusia tidak berubah pada tabiat nafsu dan kehendak. Sekalipun fizikal boleh berubah, namun segala natijah yang kita perhati sekarang; kefasikan dan kerosakan di muka bumi adalah bermula dari gejolak nafsu dan keinginan manusia. Segala latihan dan sentuhan dari wahyu dan hadis adalah bagi menundukkan nafsu dan kehendak manusia bagi menurut kehendak Allah.

Justeru, menjejak semula langkah lalu adalah satu kemestian. Dengan ketelitian dan bersikap adil, jejak Nabi s.a.w perlu diperhatikan dan dicari kesesuaian aplikasi pada masa dan situasi yang betul. Mengetahui sebab bagi ayat-ayat yang diwahyukan adalah penting sebelum mengkaji rahsia dan natijah dari ia semua.

-bersambung

Mengintai Semula Jejak Lalu

Perjalanan ke depan membuka satu ufuk baru. Kita bertambah baik dari waktu ke waktu. Dan setiap yang ada berubah baik sedikit mahupun banyak. Berlakulah apa yang Allah kehendaki, dan sebagai hamba kita menurut. Tetapi apakah yang ada di masa lalu untuk kita?

Banyak waktu perjalanan hidup memaksa kita berhenti. Satu detik yang kita tidak minta tetapi ia datang dengan satu ruang. Ramai orang membenci ruang itu kerana ia biasa hadir sempit dan menyesakkan. Tetapi kemampuan melangkaui cabaran atau krisis itu adalah satu penanda aras perkembangan kita. Satu pembukaan ufuk baru kehidupan. Dan Allah tidak membebani hamba Nya lebih dari kemampuan. Betapa indah kasih Allah pada kita.

Kekuatan yang terbina bertujuan membuat kita pergi lebih jauh dan bertahan lebih lama. Potensi yang diledak memberi harapan kepada orang lain yang mendapat manfaat dari kelebihan kita. Justeru menjadi suatu keganjilan apabila telah selesai suatu urusan, kita duduk berehat dan mengharap syurga menghantar bidadari buat kita, berserta beberapa gelas arak dan anggur yang ranum. Kerana kita belum mati. Baru selesai suatu urusan dari berjuta dan kita perlu terus berjuang.

Dalam melihat masa lalu, kita tidak boleh mengambil pelajaran secara selektif, kerana setiap suatu kejadian bertimbal balik antara satu sama lain. Tindakan seseorang pada suatu ketika dibentuk oleh pelbagai input, baik informasi, suasana sekitar atau pelbagai lagi. Kecerdikan kita di masa ini adalah bagi menggali segala hikmah yang ada dengan betul.

Tetapi ketetapannya adalah apa yang membezakan setiap seorang dari kita hanyalah taqwa. Keampuhan kita bertindak berdasarkan pengalaman lampau hanya akan bermakna apabila ia membawa kita lebih dekat kepada Allah. Dan apa yang Nabi Muhammad serta para sahabat lakukan terus menerus mengukuhkan hubungan mereka dengan Allah. Baik dari aspek rohani mahupun dari aspek politik. Semuanya menjurus kepada tujuan yang satu : kehendak Allah.

Bermula dari dua premis ini, kita ambil suatu ketetapan bahawa belajar secara tepat dari sejarah adalah bagi mengungguli perjalanan kita menuju redha Allah.

-bersambung